Masalah IT punca Orang Asli belum tebus kredit eMadani

Masalah IT punca Orang Asli belum tebus kredit eMadani

MOHD. Syahbuddin Hashim menyantuni penduduk Orang Asli yang masih gagal menebus eMadani sebanyak RM100 di Kampung Char, Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebahagian besar masyarakat Orang Asli terutamanya warga emas yang tinggal di kawasan kampung pedalaman di daerah ini masih tidak berjaya menebus kredit eMadani sebanyak RM100 yang diumumkan kerajaan.

Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang, 48, berkata, meskipun bantuan eMadani boleh ditebus sejak lebih dua minggu lalu, kebanyakan Orang Asli masih gagal menerima manfaat berkenaan.
Katanya, selain tidak mendapat maklumat lengkap, mereka juga tidak celik teknologi apabila tidak pandai menggunakan te­lefon pintar.

“Bantuan eMadani merupakan satu kebaikan kerana pihak kerajaan memberi bantuan secara e-tunai kepada rakyat bagi membeli barangan keperluan termasuk makanan.

“Bagaimanapun, masih ramai Orang Asli yang ketinggalan dalam arus pembangunan dan mereka tidak pandai menggunakan telefon pintar khususnya warga emas. Jadi, saya harap satu program penebusan dan pembelian menggunakan eMadani secara serentak dapat dilaksanakan untuk membantu mereka,” katanya ketika ditemui di Pos Brooke di sini semalam.

Seorang warga emas Orang Asli, Kamariah Long, 60, berkata, dia masih belum menebus bantuan berkenaan kerana tidak mempunyai penyedia perkhidmatan e-dompet seperti ShopeePay, Setel, Touch n Go dan MAE Maybank.

“Kita ingin minta tolong kerana Orang Asli tidak tahu, bahkan tidak mempunyai telefon. Bukan itu sahaja, saya sendiri juga buta huruf. Jadi, sangat bagus sekiranya ada bantuan pendaftaran dan penebusan daripada pihak yang berkenaan.

“Saya berharap kerajaan dapat memberi kemudahan kepada penduduk pedalaman dengan memberi bantuan tunai atau kreditkan wang bantuan ke dalam akaun bank,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN