JOHOR BAHRU: Hukuman yang dikenakan kepada individu yang mengaku bersalah melakukan pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, dekat sini disifatkan tidak setimpal dengan penderitaan dialami mangsa dan orang ramai.
Malah, seorang mangsa, Irfan Wafiy Idham Wazir, 16, hingga kini perlu menanggung penderitaan kerana terpaksa bertongkat selepas disahkan menghidap Myokymia, sejenis penyakit yang menyebabkan beberapa anggota badannya menggeletar akibat kesan pencemaran itu.
Justeru, ibunya, Norlela Abu Hashim, 50, meminta kerajaan memperketat undang-undang termasuk mengenakan denda lebih tinggi bagi memastikan tiada lagi individu yang berani melakukan kesalahan pencemaran serupa.
“Hukuman yang dijatuhkan perlu setimpal, jika ia hanya setakat itu, ia seolah-olah nyawa budak-budak yang terkesan ini adalah murah.
“Seperti anak saya yang sehingga sekarang masih memerlukan tongkat kerana tidak 100 peratus baik, meski pun kejadian ini telah berlaku sejak lima tahun lepas ketika dia tahun enam,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang pemandu lori didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim pada 2019.
JAS memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn. Bhd., yang didakwa dengan lapan pertuduhan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.
Kejadian pencemaran sisa bahan kimia itu menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim.
Dalam kejadian pada 7 Mac itu menyebabkan seramai 947 orang dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Sementara itu Mohd. Rafee Abdullah, 51, mengakui pencemaran itu masih meninggalkan kesan kepada anaknya, Nur Akma Darisha Sofea, 11, yang kini mengalami masalah pernafasan.
Menurutnya, selain memberikan hukuman yang setimpal kepada pesalah, mangsa juga perlu mendapat pembelaan daripada segi bantuan perubatan.
“Anak saya masih buat rawatan susulan dengan pakar paru-paru di hospital, kadangkala dia bersekolah, kadangkala tidak, bergantung terhadap keadaan kesihatannya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kerajaan negeri akan membuat rayuan terhadap hukuman denda dikenakan Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap pemandu lori tersebut.
Katanya, rayuan itu dibuat kerana pihaknya berpendapat jumlah denda sebanyak RM320,000 yang dikenakan terlalu rendah dan tidak setimpal.
“Di peringkat kerajaan negeri, kita akan buat rayuan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk lihat semula sama ada denda dikenakan itu berbaloi atau tidak dengan apa kerajaan belanja serta kesan kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar. – UTUSAN










