MAKPs 2023 meriah, penuh gemilang - Utusan Malaysia

MAKPs 2023 meriah, penuh gemilang

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama para pemenang, pengamal media, para penaja dan barisan pentadbiran kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan pada Malam Anugerah Kewartawanan Perlis (MAKPs) 2023 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis, malam tadi.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Malam Anugerah Kewartawanan Perlis (MAKPs) yang julung kali diadakan berlangsung meriah dan penuh gemilang di Dewan Warisan di sini, malam tadi.

Majlis anugerah tersebut dianjurkan Persatuan Wartawan Perlis (PWP) dengan kerjasama kerajaan negeri.

Majlis yang bermula pada pukul 8 malam itu dianjurkan bagi menghargai peranan pengamal media di negeri ini yang bertungkus lumus menghasilkan berita buat masyarakat

Di samping itu, penganjuran MAKPs 2023 juga turut menjadi perangsang buat pengamal media di negeri ini bagi menghasilkan laporan berita menarik dan lebih berkualiti mengikut etika kewartawanan sebenar.

Lebih istimewa, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan malam anugerah berkenaan dan turut menyampaikan anugerah untuk kategori utama anugerah laporan keseluruhan terbaik dan anugerah jasamu dikenang kepada bekas Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada MAKPs 2023 meliputi Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Terbaik, Berita Terbaik, Laporan Khas Terbaik, Rencana Terbaik, Berita TV/Radio Terbaik, Berita Ekonomi Terbaik, Berita Mandarin Terbaik, Foto Terbaik, Penyampai Radio Pilihan dan Anugerah Utama Keseluruhan Terbaik.

Bagi penyertaan MAKPs 2023, urusetia program telah membuka penyertaan bermula 18 September sehingga 28 September dan kemudiannya turut melalui penilaian daripada juri dilantik.

Barisan panel penilai terdiri daripada bekas Ketua Pengarang Bernama, Abdul Rahman Ahmad, Pengarang Urusan Dagangnews.com, Johardy Ibrahim, bekas pemenang Anugerah Kajai, Mohd Faizal Zakaria dan pensyarah dan penyelidik Taima Academy of Journalism & Information juga menjadi juri tetap beberapa edisi anugerah Malaysia Press Institute (MPI), Chong Ling Guan.

Sebanyak sembilan penaja utama membantu menjayakan majlis berkenaan terdiri daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), DagangNews.Com yang membuka ruang untuk penajaan berita ekonomi kali pertama di negeri ini, Yayasan Keluarga Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Bank Rakyat, Syarikat Air Perlis (SAP), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Pejabat Menteri Besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya