KUALA LUMPUR: Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara yang memohon agar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan, September lalu.
Menurut Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn, sesalinan permohonan semakan itu, kenyataan dan afidavit sokong yang tidak dimeterai telah diserahkan ke Jabatan Peguam Negara semalam.
Pada 4 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Pada ketika itu, Peguam Negara melalui Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar menyatakan siasatan lanjut perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berdasarkan representasi yang dihantar Ahmad Zahid pada Disember 2022; tiga tahun selepas kes bermula.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang semalam, Karen berkata, tindakan memfailkan semakan kehakiman itu dibuat selepas mengambil kira fakta dan keadaan kes Ahmad Zahid dan dibuat tanpa dipengaruhi rasa takut atau berat sebelah.
“Pada pandangan bersama Majlis Peguam, budi bicara Peguam Negara berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang mutlak serta terhad dalam skop dan had, perlu dilaksanakan dalam cara yang boleh diadili sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah mengikut bidang kuasa sedia ada berlandaskan undang-undang,” kata Karen.
Tambahnya, kes Ahmad Zahid mempunyai kepentingan awam dan negara kerana ia melibatkan dakwaan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram seseorang individu yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan pada waktu beliau didakwa di mahkamah.
Menurut permohonan semakan kehakiman yang difailkan, Majlis Peguam antara lain memohon satu perintah certiorari bagi batalkan keputusan Peguam Negara, 4 September lalu yang memohon DNAA Ahmad Zahid.
Majlis Peguam turut mohon deklarasi keputusan Peguam Negara pada 4 September lalu adalah terbatal dan tidak sah atau dibuat melangkaui kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Tatacara Prosedur Jenayah.
Selain itu, semakan kehakiman itu turut memohon relif bahawa keputusan September lalu telah dibuat secara tidak munasabah dan tidak rasional.
Majlis Peguam turut memohon satu perintah mandamus (mendesak) Peguam Negara untuk memberi segala maklumat, dokumen, alasan, sebab dan perincian mengenai status siasatan lanjut yang dijalankan berkenaan kes Ahmad Zahid yang menyebabkan Peguam Negara memutuskan untuk memohon Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilepaskan tanpa dibebaskan.
Ia termasuk segala maklumat, dokumen, alasan, sebab dan perincian oleh Peguam Negara untuk mendakwa semula, menyambung perbicaraan atau menghentikan sebarang siasatan terhadap Ahmad Zahid. – UTUSAN










