SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan perumahan berjumlah RM122.6 juta kepada asnaf di negeri ini sepanjang tahun lalu.
LZS ketika dihubungi berkata, agihan itu selesai diagihkan kepada 19,093 keluarga asnaf yang dikenalpasti pihaknya.
“Agihan itu melibatkan bantuan sewa rumah, baik pulih rumah dan pembinaan rumah baharu. Ia meliputi 18,233 penerima keluarga asnaf bagi bantuan sewa rumah, baik pulih rumah (772) dan bina rumah baharu (98),” katanya.
Tambah beliau, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang setia melunaskan tanggung jawab itu dengan LZS.
“Ia membantu asnaf mendapat tempat berteduh yang lebih sempurna untuk dihuni bersama keluarga. Jika tiada bantuan, mereka mungkin masih berteduhkan atap usang atau langit biru,” ujarnya. –UTUSAN










