SHAH ALAM: Kerajaan negeri menyerahkan RM178,000 kepada baki lima buah sekolah yang belum menerima peruntukan berupa bantuan di bawah gagasan ‘Tekad Pendidikan’.
Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM26.5 juta yang diberikan kepada 988 buah sekolah di seluruh negeri pada Julai lalu.
Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Labohan Dagang (RM50,000), SK 2 Petaling Jaya (RM48,000), SK Desa Pinggiran Putra (RM40,000), Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bedena (RM20,000) dan SK Seksyen 27 2 (RM20,000).
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Johary Anuar berkata, bantuan tersebut meliputi penambahbaikan infrastruktur untuk kemudahan pelajar dan guru di sekolah.
“Jadi, kita harapkan agar program bantuan yang meliputi pembaikan infrastruktur dan juga untuk tujuan menyediakan kemudahan yang kondusif kepada pelajar dapat memberikan manfaat kepada sekolah di negeri ini.
“Kita harapkan program seumpama ini dapat diteruskan oleh kerajaan negeri pada masa akan datang.” katanya pada Program Penyerahan Bantuan Sekolah Selangor 2023, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan bantuan kepada 988 buah sekolah dan disifatkan sebagai yang tertinggi pernah diberikan oleh kerajaan negeri dalam sektor pendidikan.
Peruntukan tersebut diberi bagi memastikan pengurusan sekolah dapat menyediakan fasiliti terbaik untuk guru dan murid menjalani sesi pembelajaran.
Dalam pada itu, Johary memaklumkan sumbangan tersebut tidak terhad kepada sekolah kerajaan semata-mata, sebaliknya peruntukan berkenaan turut disediakan untuk sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama bantuan kerajaan negeri serta sekolah persendirian. – UTUSAN