Lelaki ugut bunuh PM kerana ‘suka-suka’ - KPN

Lelaki ugut bunuh PM kerana ‘suka-suka’ – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki dipercayai membuat hantaran ugutan bunuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di aplikasi Tiktok dipercayai kerana ‘suka-suka’ berbuat demikian.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan awal terhadap lelaki berusia 34 tahun itu mendapati suspek bertindak sedemikian kerana suka-suka ekoran baru menggunakan aplikasi Tiktok.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dengan mengumpul bukti-bukti teknikal.

“Lelaki tersebut dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat semalam (Khamis).

“Kita juga sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara pada 4 Disember ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Selasa lalu, polis menahan seorang pemilik akaun TikTok yang melakukan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri di Jalan Padang Tembak, Kota Bharu Kelantan.

Suspek berusia 34 tahun itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penahanan itu dilakukan selepas pemilik akaun @jaiadani89 sebelum ini memuat naik video menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.

Bagaimanapun, video berkenaan sudah dipadamkan namun tangkap layar video tersebut telah tular di media sosial.

Berikutan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) tampil membuat laporan polis berhubung video terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Isnin lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN