Lelaki bantu pasangan pengantin kemalangan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Lelaki bantu pasangan pengantin kemalangan meninggal dunia

Suami maut
REMUK kereta Perodua Bezza yang dinaiki pasangan pengantin baharu terlibat dalam kemalangan bersama dua kenderaan lain dekat Jalan Bernam di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki yang parah dilanggar ketika membantu pasangan pengantin yang kemalangan Tanjong Karang, di sini kelmarin disahkan meninggal dunia petang semalam selepas dua hari bertarung nyawa di Hospital Sungai Buloh.

Mangsa berusia lingkungan 30-an itu meninggal dunia di hospital berkenaan, kira-kira pukul 3.22 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati lelaki yang memandu dari arah Teluk Intan menghala Klang itu berhenti selepas melihat sebuah kereta terbalik akibat kemalangan.

“Ketika kejadian dia cuba membantu mangsa kemalangan untuk keluar dari kenderaan. Namun, mangsa dilanggar sebuah kereta sehingga tercampak dan jatuh di atas jalan sehingga cedera parah,” katanya ketika dihubungi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan usia perkahwinan sepasang suami isteri hanya bertahan selama sehari selepas seorang daripadanya maut dalam kemalangan tiga kenderaan itu.

Lebih memilukan, Allahyarham Norsyam Nassullah Rahim, 23, dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mengambil baju pengantin bagi majlis pernikahan sebelah keluarganya yang dijadualkan berlangsung  di Pulau Pinang hujung bulan ini.

Tragedi kira-kira pukul 10 malam itu turut mengakibatkan isterinya, Aini Hayati Mohd. Radzi, 22, patah kaki kiri manakala enam  mangsa lain cedera dan seorang lagi parah.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 10.05 malam.

“Setibanya di lokasi, kemalangan itu didapati melibatkan tiga kereta iaitu Perodua Bezza, Honda City dan Nissan Almera.

“Selain itu, seorang lelaki iaitu orang awam yang membantu mangsa kemalangan turut cedera parah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya