SHAH ALAM: Lebih 30,0000 pelanggan menyertai peraduan ‘Shop More Win More’ bersempena dengan ulang tahun ke-11 pasar raya besar AEON BiG (M) Sdn. Bhd. (AEON BiG) yang berakhir semalam.
Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 orang peserta dipilih untuk memenangi 11 hadiah utama, termasuk sebuah Proton X50 Flagship dan dua buah Proton Saga.
“Kalau ikutkan, memang hendak buat peraduan ini lima minggu sahaja, tapi disebabkan mahu bagi lebih peluang untuk menang hadiah utama, kita lanjutkan peraduan ini sehingga enam minggu.
“Apapun, kita zahirkan penghargaan kepada semua pelanggan yang berbelanja di 21 outlet AEON BiG di seluruh negara,” katanya pada majlis Grand Finale peraduan ‘Shop More Win More’ di AEON BiG Bukit Rimau, di sini semalam.
Hadir sama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Beliau menambah, selain peraduan itu, pasar raya hyper itu turut mengadakan program Orange Day, iaitu pemberian diskaun sehingga 50 peratus untuk beberapa barang keperluan asas di outlet AEON BiG terpilih untuk tempoh sehari.
Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, beliau yang mewakili kerajaan menzahirkan penghargaan kepada AEON BiG kerana sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk menjual produk dengan harga murah di bawah Program Jualan Rahmah (PJR).
Beliau berharap lebih banyak pasar raya dapat memperkenalkan PJR, bagi membantu rakyat mengatasi masalah kos sara hidup.
Sementara itu, pemenang hadiah Proton X50 Flagship, Ngeow Bih Lei, berkata, beliau tidak menyangka dapat memenangi kenderaan utiliti sukan (SUV) tersebut, memandangkan mahu menjual kereta Perodua MyVi yang digunakannya ketika ini.
“Saya ada beli sebuah televisyen dan sebuah pengering rambut di AEON BiG Falim, Ipoh bulan Oktober tahun ini dengan jumlah pembelian lebih RM1,500.
“Saya selalu berbelanja di AEON BiG kerana pasar raya ini dekat dengan rumah,” kata penolong pegawai perakaunan di sebuah syarikat swasta di Ipoh. – UTUSAN










