KUANTAN : Program ‘Walk A Town With Me Pahang 1st’ dijangka menghimpunkan lebih 30,000 peserta dari seluruh negeri Pahang menerusi siri jelajah komuniti yang bakal berlangsung di sembilan lokasi terpilih.
Program berkenaan akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Ahad ini di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang (KOMBES), Kuantan, sekali gus menandakan permulaan jelajah program yang julung kali dianjurkan itu.

Dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Pahang, program berskala besar ini akan menjelajah daerah Kuantan, Maran, Jengka, Bentong, Kuala Lipis, Pekan, Indera Mahkota, Bera dan Temerloh bagi tujuan menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh perpaduan komuniti serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Program, Haikal Zakaria, berkata program itu juga bertujuan menyatukan masyarakat Pahang dari pelbagai lapisan usia dan latar belakang melalui aktiviti riadah yang sihat yang disediakan.
“Pada masa sama, program ini turut memperkenalkan budaya, warisan serta keunikan setiap daerah di negeri ini, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat cintakan Pahang dan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti komuniti yang positif.
“Selain menjadi platform untuk beriadah, program ini juga membudayakan amalan berjalan kaki sebagai rutin harian yang mampu meningkatkan tahap kecergasan, menjaga kesihatan tubuh badan serta memberi peluang kepada keluarga dan rakan-rakan meluangkan masa berkualiti bersama,” katanya.










