Lantikan dipertikai, Hui Ying anggap kebebasan bersuara - Utusan Malaysia

Lantikan dipertikai, Hui Ying anggap kebebasan bersuara

LIM Hui Ying (dua dari kanan) ketika mengedarkan kalendar 2024 kepada para peniaga di Pasar Chowrasta, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Timbalan Menteri Kewangan yang baharu dilantik, Lim Hui Ying menganggap sebarang pertikaian yang wujud terutama di media sosial susulan pelantikan beliau ke jawatan berkenaan merupakan satu kebebasan bersuara bagi rakyat negara ini.

Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, beliau sudah biasa berdepan dengan situasi berkenaan sejak 2018 iaitu ketika dilantik sebagai Senator Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan kemudian berlarutan sehingga dipilih sebagai calon pilihan raya bagi Parlimen Tanjong.

Malah, katanya, pertikaian yang sama juga berlaku ketika dia dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

”Bagi saya ia adalah kebebasan masing-masing.

”Saya terima dengan hati yang besar apa juga komen-komen yang saya terima. Saya juga bukan sempurna, saya memang tahu. Saya ada kelemahan, setiap orang ada kekurangan dan kelebihan,” katanya selepas mengedarkan kalendar 2024 di Pasar Chowrasta, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan pertukaran beberapa portfolio jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

Antara yang terlibat ialah Hui Ying yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pendidikan kini dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan.

Susulan pelantikan Hui Ying itu timbul pelbagai pertikaian dalam kalangan pengguna media sosial yang mengaitkan pelantikan beliau disebabkan pengaruh keluarga Lim Kit Siang.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, segala pertikaian itu juga tidak melemahkan semangat beliau untuk berkhidmat kepada rakyat.

”Saya hanya boleh berjanji saya akan bekerja sedaya upaya saya untuk membuat apa yang baik untuk rakyat Malaysia dan juga Pulau Pinang.

“Saya terimalah apa sahaja komen, susah hati (disebabkan komen) itu di belakang. Tetapi di depan semua orang saya mesti tabah dan sabar,” katanya.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, beliau bertuah kerana dikelilingi pemimpin-pemimpin yang baik di dalam parti DAP yang selalu menyokong dan memberi tunjuk ajar kepadanya.

”Apabila saya diumumkan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang kini berada di luar negara menyampaikan ucapan tahniah dan kita sama-sama berjuang.

”Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya