KLUANG: Tujuh keluarga golongan miskin tegar yang ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Jalan Sawi dekat sini, boleh diibaratkan sudah ‘lali’ dengan kejadian banjir di kawasan penempatan mereka.
Malah mereka boleh diumpamakan sebagai ‘penyambut tetamu’ kehadiran banjir yang berlaku di Kluang setiap tahun apabila menjadi mangsa pertama dipindahkan ketika bencana alam itu melanda.
Seorang penduduk, Aini Ali, 65, berkata, tidak ada tahun yang mereka ketinggalan dilanda banjir sejak menduduki kawasan perumahan itu kira-kira 10 tahun lalu.
Katanya, ada ketika mereka dipindahkan pada tengah malam dan subuh sekiranya hujan lebat walaupun dalam tempoh hanya kira-kira dua jam di bahagian hulu Sungai Mengkibol dan rangkaiannya Sungai Kluang.
“Contohnya kelmarin, hujan lebat tanpa henti kira-kira pukul 3.30 petang dan pukul 5.15 petang air sungai sudah memasuki dalam rumah paras lutut.
“Keadaan ini menyebabkan kami mengambil inisiatif berpindah ke kawasan lebih tinggi sebelum pasukan penyelamat sampai kerana risau melihat paras air naik terlalu cepat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Aini yang tinggal lapan beranak di PPRT itu, walaupun kejadian kelmarin adalah banjir kilat namun tetap memberi kesan kerana banyak barang ditenggelami air dan kesannya sama seperti banjir-banjir biasa sebelum ini.
“Harap satu tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengatasi masalah ini dan bukannya membiarkan kami terus berhadapan musibah sama setiap tahun,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman Daud, 56, yang tinggal tiga beranak di perumahan itu tidak menyangka hujan dalam tempoh tidak lebih dua jam boleh menyebabkan banjir kilat di rumah mereka.
Katanya, keadaan itu menyebabkan banyak barang tidak dapat diselamatkan dan terendam dengan air banjir.
“Daripada tujuh keluarga yang mendiami kawasan perumahan ini, kini hanya tinggal lima keluarga kerana dua daripadanya terpaksa berpindah mencari penempatan lain akibat tidak sanggup berhadapan musibah banjir setiap tahun,” katanya. – UTUSAN










