Lagu-lagu ‘leman’ kena dengan jiwa saya – Eira Milpan - Utusan Malaysia

Lagu-lagu ‘leman’ kena dengan jiwa saya – Eira Milpan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENCIPTA populariti mendadak menerusi penghasilan lagu Retak Hatiku, penyanyi muda, Eira Milpan, tidak menyangka pertaruhan pertamanya untuk meneroka industri seni hiburan tanah air, menjadi. 

Menurut Eira atau nama sebenarnya, Syahirah Milpan, lagu hasil nukilan Oja, Zai Hamzah dan Achoi Floor 88 itu boleh dikatakan memiliki aura tersendiri yang menjadikan dirinya secara tidak langsung berpeluang menumpang tuah untuk dikenali ramai dan bergelar artis rakaman. 

Anak jati Johor ini berkata, ini kerana dia secara peribadi menyukai karya lagu sedemikian yang bernuansa pop dan balada Melayu. 

Malah, dek terlalu menyukai genre lagu seperti itu, penyanyi ini turut menanam hasrat untuk menghasilkan lagu baharu yang lebih kurang serupa dengan melodi lagu Retak Hatiku selepas ini. 

Bagaimanapun, kata Eira, dia sedar mungkin ada segelintir peminat muzik menganggap dia terlalu selesa membawakan corak lagu yang sama sedangkan sebagai penyanyi baharu, dirinya boleh mencuba memberikan warna muzik lain dalam kerjayanya. 

Ada jawapan sendiri, kata Eira yang berusia 21 tahun, lagu-lagu pop dan balada Melayu sudah sedia ada sebati dengan dirinya sejak kecil. 

“Sebenarnya, sukar untuk saya mengikis perasaan untuk tidak bawakan lagu begini. Kalau dalam istilah zaman sekarang dan bak kata Datuk Ramli MS, lagu-lagu ‘leman’ atau kekampungan. 

“Bagi saya, untuk tukar kepada genre lain itu mungkin belum masanya. Lagipun lagu begini sesuai dengan suara dan jiwa saya. Sejak kecil saya memang menyukai lagu-lagu begini yang mana kita boleh tengok, ia sangat popular sekitar era 80 dan 90-an. 

“Saya tak kisah pun jika ada yang kata usia saya muda, tapi bawa lagu orang lama. Saya okey saja sebab lagu begini bagi saya lebih ‘hidup’ dan mampu meresap ke dalam jiwa,” katanya. 

Selain itu, Eira juga mengakui begitu meminati penyanyi senior, Ziana Zain dan menjadikannya antara penyanyi idola. Bagi Eira, Ziana memiliki lenggok nyanyian yang unik dan istimewa. 

“Punyalah saya meminati Ziana, sampaikan sertai mana-mana pertandingan nyanyian sekali pun saya akan bawakan lagu dia. Bagi saya dia seorang penyanyi yang sangat hebat dan luar biasa. 

“Kemampuannya untuk membawakan lagu-lagu tinggi dengan setiap karya lagu itu pun hebat-hebat, ia membuatkan saya begitu mengagumi Ziana,” katanya. 

KEDAI MAKAN KELUARGA DISERBU PEMINAT 

Dalam pada itu, berkongsi lanjut mengenai suasana baharu yang dilaluinya sebagai seorang artis kini, kata Eira, dia tidaklah terjebak dengan istilah ‘kejutan budaya’ sementelah sedar bahawa seni hiburan merupakan satu dunia baharu buatnya. 

Namun, satu yang dapat dilihat, kata Eira, dia terkejut bagaimana orang ramai terutama peminat, begitu memberi sokongan sehinggakan kedai makan yang diusahakan oleh orang tuanya di Johor Bahru kini sentiasa dipenuhi pelanggan. 

“Sekarang ini boleh dikatakan tak menang tangan untuk melayan pelanggan di kedai makan keluarga saya. Terkejut juga sebab ratarata mereka datang sebab nak sokong mak ayah saya berniaga dan tahu saya sebagai penyanyi lagu Retak Hatiku. 

“Tak tahu lah kalau ini boleh disebut sebagai kejutan budaya. Tetapi jujurnya memang saya terkejut sebab tak pernah alaminya sebelum ini. 

“Lepas itu, sekarang ini pun makin ramai nak bergambar dengan saya dan hulur tangan nak salam. Sesuatu yang saya perlu biasakan,” katanya. 

Dalam pada itu, kata Eira, sebagai pendatang baharu, sebolehnya dia enggan lekas hanyut dengan populariti memandangkan telah banyak contoh yang berlaku di depan mata. 

Bagi Eira, dia tidak mahu kerjaya seni yang dibina musnah sekelip mata sekiranya dia terjebak dengan sebarang perkara negatif. 

“Bila semakin naik, saya sedar semakin banyak orang akan mencari kesilapan dan kesalahan kita dari segenap inci. Namun sebolehnya saya mahu menjaga diri agar tidak terjebak dengan kontroversi atau hanyut dalam arus populariti. 

“Saya mahu peminat sentiasa menyokong dan beri semangat pada saya. Insya-Allah saya tak akan lupakan peminat yang membantu saya untuk naik dan lebih berjaya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN