PUTRAJAYA: Semua kementerian dan agensi diarah untuk menjawab setiap teguran yang dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 dan memberikan penjelasan serta tindakan sepenuhnya.
Langkah itu bagi memastikan setiap kes yang didedahkan menerusi laporan berkenaan tidak lagi berulang pada tahun akan datang hanya kerana kegagalan mengambil perhatian serius terhadap teguran itu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, beliau sendiri akan memantau perkara itu sebagaimana diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya LKAN itu dibincang di peringkat kementerian atau jabatan masing-masing agar ia tidak hanya berakhir sebagai satu catatan laporan semata-mata.
“Saya arahkan setiap tindakan laporan itu dibawa kepada saya dan saya akan bawa ke Jemaah Menteri, kita tengok apa langkah sama ada kementerian tersebut sudah ambil tindakan atau belum untuk memastikan benda sama tak berulang lagi
“(Arahan ini turut terpakai kepada) semua kementerian walaupun tidak disebut dalam laporan itu,” katanya dalam sesi temu bual di sini kelmarin.
Mohd. Zuki berkata, beliau turut mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengadakan sesi townhall dan semua ketua setiausaha (KSU) kementerian perlu menjawab dalam sesi itu.
Katanya, langkah itu pernah dilaksanakan beberapa tahun dahulu bagi memberi ruang kepada KSU memperjelaskan setiap isu yang dibangkitkan dalam LKAN berkenaan.
“Kita akan tengok setiap satu (sudah ambil tindakan atau belum). Namun ada setengahnya itu tindakan sudah diambil dan selesai, tetapi masih ada juga yang tidak selesai. Maknanya belum ada tindakan serius.
“Banyak juga kes isu punitif, tindakan sudah dibuat seperti membuat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) kalau melibatkan salah laku, ada yang sudah dikenakan tindakan.
“Tetapi kita tidak uar-uarkan. Jadi dengan sesi townhall ini kita akan maklumkan apa tindakan diambil. Saya sudah arahkan JPA dan pihak JPA mulakan proses memanggil untuk mengadakan sesi itu dengan memanggil semua KSU untuk jawab,” katanya.
LKAN 2022 mendedahkan negara mengalami kerugian RM681.71 juta dana awam ekoran kegagalan enam program diuruskan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mematuhi peraturan dan prosedur.
Perkara tersebut antara isu utama dibangkitkan dalam laporan itu selepas melaksanakan 16 pengauditan prestasi di 14 kementerian membabitkan projek dan program yang semuanya bernilai RM208.882 bilion.
Ia membabitkan 13 program antaranya RM189.290 bilion program menggalakkan pelaburan bagi sektor perkilangan; pengurusan program penanaman padi (RM6.820 bilion).
Kehilangan dana awam itu meliputi kegagalan pengurusan Program Padi berjumlah RM660.14 juta; pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) (RM14.33 juta); pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan serta agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (RM6.34 juta).
Turut dikesan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin berjumlah RM0.49 juta; program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan (RM0.29 juta) dan pengurusan program bandar selamat sebanyak RM0.12 juta.
Susulan kerugian tersebut, LKAN melaporkan, Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor untuk diambil tindakan oleh kementerian, jabatan serta agensi berkaitan antaranya kementerian, jabatan dan agensi dimohon menjalankan kajian terperinci bagi setiap cadangan projek terlebih dahulu sebelum diluluskan.
Selain itu, kementerian, jabatan dan agensi juga harus mempertingkatkan aspek pemantauan bagi memastikan program, aktiviti atau projek dilaksanakan mengikut jadual atau perancangan yang ditetapkan.
Pegawai Pengawal atau Ketua Jabatan perlu menetapkan kriteria dan mekanisme penilaian keberhasilan semasa di peringkat perancangan untuk setiap program projek yang dilaksanakan. – UTUSAN










