PETALING JAYA: Aliran trafik kekal perlahan di beberapa lebuh raya utama berikutan perjalanan pulang perantau ke kampung sempena cuti perayaan Hari Krismas, setakat pukul 3.30 petang ini.
Melalui akaun rasmi X, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan, trafik masih sesak di laluan KL-Karak dari Plaza Tol Gombak ke Batu 12 Gombak dan Lemang Layby KM31 ke Genting Sempah.
Di arah Selatan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), LLM melaporkan trafik perlahan di Bandar Saujana Putra, Putrajaya ke Seafield, USJ ke Gamuda Cove dan Bandar Serenia ke Nilai Utara.
Di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Utara pula, trafik kekal perlahan susulan peningkatan kenderaan di Rawang Selatan, Juru dan Seberang Jaya serta mula perlahan dari arah Ipoh ke Terowong Menora.
Dalam pada itu, PLUS Selatan juga mengalami kesesakan di beberapa laluan berdekatan Bandar Ainsdale, Seremban, Kajang ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sungai Besi. – UTUSAN










