PETALING JAYA: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menempatkan 808 petugas JSPT di kawasan hotspot dan blackspot yang dijangka berlaku kesesakan dan kemalangan bagi memastikan aliran trafik terkawal sempena sambutan Hari Krismas.
Daripada jumlah itu, sebanyak 77 pertugas terdiri daripada pegawai manakala 731 anggota polis.
Pengarah JSPT, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, tindakan itu selepas pihaknya menjangkakan berlaku pertambahan aliran kenderaan dan kesesakan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Jalan Persekutuan, Negeri dan Bandaran sempena cuti ini.
Berdasarkan laporan konsesi lebuh raya terlibat, sebanyak satu sehingga dua juta kenderaan akan menggunakan semua lebuh raya bermula semalam sehingga Selasa ini memandangkan orang ramai mengambil kesempatan cuti persekolahan dan perayaan.
Kata beliau, penugasan itu akan memberi fokus kepada pengguna jalanraya yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas seperti memotong barisan, menggunakan lorong kecemasan dan memandu melebihi had laju yang ditetapkan.
“Kita (JSPT) juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan lampu isyarat merah dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Azman, dalam menentukan aspek keselamatan dan kelancaran lalu lintas, petugas JSPT di lebuhraya PLUS dan Karak bertugas secara 24 jam.
Jelas beliau, petugas akan menangani segala masalah yang berlaku di kawasan tanggungjawab mereka sama ada kemalangan atau kesalahan lalulintas.
“Petugas di peringkat Kontinjen dan Daerah akan mengawalselia di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran.
“Namun begitu, JSPT menyeru semua pengguna hendaklah mematuhi peraturan lalu lintas, sentiasa bekerjasama antara satu sama lain ketika berada dalam aliran trafik yang meningkat.
“Semua pengguna jalan raya hendaklah mengawal emosi dan jangan memandu secara melulu dan berbahaya dan perlu berhemah serta berhati-hati kepada pemanduan,” jelasnya.
Dalam pada itu, aliran trafik di lebuh raya utama mulai sesak berikutan pertambahan kenderaan sempena sambutan Hari Krismas.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik sesak dan perlahan arah utara dari Sungai Buloh menuju ke Bukit Beruntung, setakat 9.30 pagi semalam.
Trafik menuju utara sesak sepanjang 11 kilometer manakala trafik arah selatan masih terkawal.
Kemas kini PLUS menerusi laman X rasminya memaklumkan terdapat kemalangan di KM182.2 arah utara dari Jasin ke Ayer Keroh dengan lorong kanan terhalang serta trafik sesak sepanjang empat kilometer. – UTUSAN










