KPDN tumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bernilai RM420,000 - Utusan Malaysia

KPDN tumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bernilai RM420,000

SAHARUDDIN Mohd. Kia (kiri) memeriksa beberapa buah tangki disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi bernilai lebih RM420,000 dalam satu serbuan di sebuah premis dalam belukar di Kampung Labohan, Kerteh, di sini, semalam.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan yang dilakukan 14 penguat kuasa KPDN dan 21 anggota polis kira-kira pukul 9.30 malam turut menahan enam lelaki warga tempatan berumur 29 hingga 56 tahun yang disyaki sedang melakukan aktiviti haram tersebut.

“Hasil serbuan, kita berjaya merampas sebanyak 19,550 liter diesel termasuk lima kenderaan iaitu dua buah lori tangki, sebuah lori kanvas dan dua buah kepala lori.

“Kita juga turut merampas 10 unit tong jenis IBC (Intermediate Bulk Container), tiga buah tangki skid, pam, paip penyambung dan beberapa peralatan lain,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di Kampung Labohan, Kerteh, di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, premis yang tersembunyi di sebalik belukar itu juga disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan diesel bersubsidi.

“Hasil risikan yang dilakukan selama tiga bulan, kita dapati modus operandi sindiket ini adalah menggunakan lori yang telah diubah suai bagi membeli diesel di stesen-stesen minyak di sekitar Kerteh dan Paka.

“Diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor haram tersebut untuk dipindahkan ke dalam tangki skid sebelum dijual semula,” katanya.

Saharuddin berkata, pihaknya juga sedang menyiasat stesen minyak yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan minyak tersebut.

“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dan rantaian pengedaran diesel ini,” katanya.

Dalam pada itu, Saharuddin berkata, menerusi Ops Tiris yang dilakukan sejak 1 Mac hingga 7 Disember lalu di negeri ini, sebanyak 17 kes melibatkan rampasan dan sitaan diesel direkodkan dengan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan penyelewengan diesel bersubsidi ini dan kita mengalu-alukan masyarakat untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk turut sama membanteras aktiviti haram ini,” katanya. – UTUSAN

SAHARUDDIN Mohd. Kia (kiri) memeriksa beberapa buah tangki disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, hari ini. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya