PETALING JAYA: Kenaikan harga diesel ketika ini menjejaskan industri kawalan makhluk perosak akibat kos operasi meningkat tiga kali ganda susulan ketidaktentuan harga bahan api.
Presiden Persatuan Pengurusan Kawalan Perosak Malaysia (MPMA), Regine Lim berkata, sebahagian syarikat masih terikat dengan kontrak lama yang tidak lagi selari dengan kos operasi semasa.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai pengusaha terpaksa menanggung beban kos tinggi dan ada yang berdepan kerugian kewangan.
“Diesel merupakan bahan penting dalam operasi kawalan makhluk perosak, termasuk sebagai bahan pembawa dalam aktiviti penyemburan serta untuk tujuan logistik harian syarikat.
“Berdasarkan anggaran persatuan, penggunaan diesel melebihi 4.4 juta liter sebulan melibatkan 1,870 syarikat berdaftar di bawah Lembaga Racun Makhluk Perosak Malaysia,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Beliau berkata, kenaikan harga bahan api turut memberi kesan kepada kos racun, peralatan dan kelengkapan lain yang digunakan dalam operasi harian.
Dalam pada itu, Presiden Bumiputera Integrated Pest Management Malaysia (BIPM), Wan Mohd Yusri Wan Rawi berkata, industri tersebut memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam menjaga kesihatan awam melalui pelaksanaan kerja kawalan di lapangan.
Menurutnya, antara perkhidmatan utama yang dijalankan termasuk aktiviti penyemburan bagi membunuh nyamuk serta operasi lain bagi memastikan premis dan kawasan perumahan bebas daripada ancaman makhluk perosak.
“Ketika ini, kenaikan harga diesel dan petrol amat membebankan pengusaha, sama ada syarikat kecil mahupun besar,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohd Yusri berkata pihak persatuan telah mengadakan pertemuan dengan kementerian berkaitan bagi membincangkan isu tersebut.
Katanya, surat susulan turut dihantar bagi memohon pertimbangan kerajaan terhadap bantuan subsidi diesel kepada industri berkenaan.
“Kebanyakan syarikat menggunakan kenderaan pikap untuk operasi, namun ia tidak termasuk dalam kategori subsidi yang dinikmati sektor tertentu,” katanya.
Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan bersasar memandangkan industri tersebut memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan awam negara. – UTUSAN










