KPDN Terengganu rekod nilai rampasan, kompaun RM2 juta - Utusan Malaysia

KPDN Terengganu rekod nilai rampasan, kompaun RM2 juta

SEORANG pelanggan memilih lobak merah yang tersenarai dalam SHMMP Krismas 2023 di sebuah pasar raya besar di Kuala Terengganu, petang ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merekodkan nilai rampasan dan kompaun lebih RM2 juta sejak Januari sehingga 21 Disember lalu.

Pengarah KPDN negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, nilai rampasan dan kompaun itu melibatkan 571 kes pelbagai kesalahan yang dikesan melalui operasi penguatkuasaan sepanjang tahun ini.

Menurut beliau, kesalahan paling banyak dikesan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sebanyak 297 kes selain Akta Timbang dan Sukat 1972 (169 kes).

Selain itu, katanya, sebanyak 47 kes turut direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 (38 kes), Akta Perihal Dagangan 2011 (12 kes) dan Akta Cap Dagangan 2019 (lapan kes).

“Dalam tempoh berkenaan, KPDN Terengganu telah menjalankan 50,651 pemeriksaan di 2,905 premis perniagaan di seluruh negeri dan berjaya mengesan 571 kes pelbagai kesalahan.

“Susulan daripada itu kita telah mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat rampasan bernilai keseluruhan lebih RM1.92 juta manakala kompaun dikeluarkan pula sebanyak RM186,450.

“Bagi hukuman oleh mahkamah pula, lima kes telah disabit kesalahan dan didenda RM206,300 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 Peringkat Negeri Terengganu di sebuah pasar raya besar di sini, petang ini.

Menurutnya, sembilan jenis barangan iaitu daging kambing biri-biri import, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import, lobak merah dan ubi kentang import tersenarai dalam SHMMP Krisma 2023.

Selain itu tiga lagi jenis barang iaitu bawang merah besar import, bawang kuning besar dan cili merah turut berada dalam senarai skim harga berkenaan selama lima hari bermula hari ini sehingga 27 Disember.

“Sekiranya pematuhan harga kawalan gagal diikuti atau tiada tanda harga bagi sembilan jenis barang ini, peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya