FAKTOR utama yang mengakibatkan konflik hidupan liar dengan manusia ialah perubahan keseimbangan ekosistem. Tiga faktor mengakibatkan perubahan keseimbangan ekosistem ketara yang berlaku sejak kebelakangan ini ialah pertama, penerokaan kawasan hutan habitat hidupan liar yang mengakibatkan penyebaran penyakit haiwan domestik ke dalam haiwan hidupan liar. Kedua, pemanasan global yang mengubah pola perubahan musim (penyebaran tumbuhan dan pergerakan haiwan liar). Dan ketiga, adaptasi oleh haiwan liar untuk makan dari penempatan manusia.
Faktor penerokaan hutan mengakibatkan tidak wujud lagi jurang pemisahan (gap) di antara aktiviti manusia dengan hidupan liar. Ini kerana dengan penerokaan hutan, manusia juga membawa bersama risiko dalam bentuk penyakit bawaan haiwan domestik, penyakit bawaan manusia dan seterusnya perilaku adaptasi daripada hidupan liar.
Haiwan domestik seperti babi ternakan telah membawa penyakit African swine fever (ASF) ke dalam populasi babi hutan yang mengakibatkan pandemik sangat teruk di dalam populasi babi hutan sehingga melenyapkan populasi di kawasan tertentu di Semenanjung. Perkara ini memberi kesan sangat mendalam kepada pemakanan dan pemburuan mangsa untuk Harimau Malaya kerana ia terpaksa mencari mangsa alternatif (manusia dan haiwan ternakan).
Selain itu, penyakit bawaan anjing iaitu canine distemper virus (CDV) telah menular ke dalam ekosistem kawasan hutan sehinggakan terdapat Harimau Malaya yang mati akibat penyakit ini. Ini disebabkan peneroka hutan untuk aktiviti penempatan, dusun, tanaman kontan dan pembinaan lebuh raya pada kebiasaannya membawa anjing peliharaan bersama-sama ke kawasan teroka yang mana setelah aktiviti selesai, anjing peliharaan ditinggalkan dan terpaksa hidup di habitat bertindih dengan rayauan hidupan liar.
Penerokaan hutan dan pemusnahan buffer zone yang menjadi pemisah semula jadi antara haiwan liar dengan manusia telah mengakibatkan adaptasi oleh haiwan liar untuk mencari makanan dari kawasan aktiviti manusia. Hutan yang semakin mengecil tidak menjanjikan keberadaan makanan, sekali gus membuatkan haiwan pemangsa apeks seperti Harimau Malaya mula membaham haiwan ternakan (lembu, kambing, kerbau dan lain-lain lagi).
Apabila terdapat kawasan yang tiada haiwan ternakan, manusia mula menjadi mangsa kepada Harimau Malaya. Kejadian harimau membaham manusia merupakan sesuatu yang sangat jarang berlaku. Tetapi pada tahun ini sahaja, enam kes manusia dibaham hingga mati oleh Harimau Malaya berlaku.
Untuk mengupas isu ini dengan mendalam, kita perlu melihat kepada beberapa fakta yang menjurus kepada permasalahan ini. Secara amnya, pengurusan habitat hidupan liar di Semenanjung tidak mengambil kira dinamik populasi terkini.
Sebagai contoh, sewaktu pandemik Covid-19 selama dua tahun setengah, penutupan penuh aktiviti manusia di habitat hidupan liar menunjukkan peningkatan terhadap peri laku semula jadi hidupan liar.
RUSA SAMBAR, KIJANG
Pembiakan, pergerakan, pemangsaan, pembaikpulihan habitat secara semula jadi telah berlaku di luar pengawasan dan pengaruh aktiviti manusia. Pada masa tersebut, ada kemungkinan besar sesetengah proses semula jadi di dalam ekosistem mengalami pemulihan mengakibatkan peningkatan aktiviti semula jadi hidupan liar.
Bagaimanapun, sejurus selepas industri mula dibuka dan aktiviti lapangan manusia disambung, penerokaan hutan, pengubahan kawasan tadahan, tebus guna tanah dan pelbagai aktiviti manusia telah merencatkan sesetengah pemulihan habitat hidupan liar. Secara tidak langsung menimbulkan peri laku adaptasi di dalam hidupan liar yang mana sesetengahnya menjadi lebih berani menggunakan sumber subsidi daripada manusia.
Faktor ini ditambah dengan tekanan terhadap ekosistem yang mengakibatkan kekurangan sumber makanan semula jadi mengakibatkan timbul konflik pertembungan antara manusia dan hidupan liar.
Sebagai solusi kepada permasalahan ini, satu pemetaan kawasan berpotensi konflik perlu dilakukan. Walaupun pahit untuk diterima, sesetengah kawasan di bahagian pedalaman Semenanjung telah menjadi no go zone untuk manusia.
Habitat hidupan liar memerlukan kawasan-kawasan ini untuk terus hidup dan akan berterusan mengganggu aktiviti manusia. Habitat-habitat ini perlu diperkukuhkan dari segi komponen semula jadi dengan pelepasan haiwan pemangsa yang diternak (rusa sambar, kijang dan lain-lain lagi) dan perlu dipantau secara remote untuk melihat pemulihan ekosistem secara semulaj adi.
Populasi manusia perlu diurus mengikut tatacara yang mengambil kira kebajikan haiwan liar dan kebajikan manusia secara total yang mana kebajikan hidupan liar boleh dipantau secara pengurusan ekosistem mampan dan kebajikan manusia boleh dijaga dengan menghantar manusia untuk bekerja jauh di pedalaman dengan pengukuhan ilmu perhutanan dan pengurusan mampan alam sekitar hidupan liar.
Solusi terakhir ialah dengan meningkatkan aktiviti pemuliharaan hidupan liar secara aktif melalui kaedah-kaedah pembiakan haiwan terkini, teknologi pengesanan terkini menggunakan satelit, kaedah penanaman semula hutan secara agresif, kajian dinamik populasi haiwan liar yang berterusan dan kaedah kawalan populasi sesetengah hidupan liar secara tidak invasif.
Kerjasama antara agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri berkenaan guna tanah dan sumber merupakan isu utama yang perlu diselesaikan untuk mendapat solusi paling efektif. – UTUSAN
Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM).










