Kerja pastri gaji rendah, ada bakat belum tentu berjaya

Kerja pastri gaji rendah, ada bakat belum tentu berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebab itu, ahli keluarga galakan saya menceburi dunia masakan.” 

Itu pengakuan tanpa berselindung, Chong Ko Wai, 37, sewaktu diaju pertanyaan mengenai pembabitannya dalam dunia pastri. 

Beliau mengakui bidang itu, tidaklah ‘semanis’ manisan dihasilkan, khususnya pada peringkat awal membina kerjaya. 

Sebaliknya, ia menuntut kesabaran, kegigihan dan keazaman tinggi untuk berjaya sehingga berada di kedudukannya seperti hari ini. 

Pengasas C3-LAB yang murah senyuman ini menjelaskan untuk bertahan dalam dunia masakan perlu sabar dalam menempuhi setiap ujian kerana barangkali ia akan menjadi pengalaman berharga buat individu. 

“Masa jadi junior, saya pernah kena marah dengan cef lebih senior. Pengalaman mencabar bekerja di hotel ini adalah bagaimana kita berkomunikasi dengan orang lain. Kadang-kadang, kita diberikan tugasan di luar skop kerja. 

“Contohnya, ada majlis dengan kapasiti 1,000 orang, tetapi peralatan tidak mencukupi. Kita perlu mencari solusi sama ada bertanya kawan atau tanya bahagian lain. 

“Selain itu, kalau ada banyak tugasan kerja, bagaimana kita perlu mengendalikannya? Itu semua adalah skil,” titipnya. 

Lulusan diploma dalam Sains dan Teknologi Baking di Malaysia Institute of Baking ini menuai pengalaman di sebuah hotel di Petaling Jaya. 

Tiga tahun menimba pengalaman di situ, Ko Wai layak bergelar tenaga pengajar dalam bidang pastri. 

MULA BERNIAGA 

Pejam celik, beliau akhirnya berjaya membuka premis perniagaan sendiri, C3-LAB di pusat beli-belah di Petaling Jaya. 

Operasi premis dijalankan dengan bantuan 10 staf di bahagian dapur dan tujuh pelayan tetamu. 

Beliau yang mahir dalam pembuatan pastri Jepun dan Perancis banyak menimba pengalaman melalui pertandingan di luar negara. 

Antara pencapaian tertinggi diraih ialah tempat kedua daripada 16 peserta dari seluruh dunia semasa Modial Des Art Sucre DGF di Perancis, pada 2016. 

“Setiap tahun, persatuan cef di negara ini menganjurkan pertandingan bagi melakukan sesi pemilihan peserta yang berkelayakan untuk mewakili negara. 

“Dua kejohanan antarabangsa saya pernah sertai serta beberapa pertandingan di peringkat tempatan lain,” katanya yang menjadikan beberapa cef di luar negara sebagai idola. 

Anak jati Selangor ini sudah berada di puncak kerjaya apabila memiliki perniagaan pastri sendiri. 

Disoal bakat menjadi punca berjaya, beliau menafikannya kerana dirinya sendiri tidak pernah masuk dapur apatah lagi memasak sejak kecil. 

“Kemahiran jatuh nombor dua. Paling penting adalah sikap. Kita perlu rajin dan konsisten dalam pekerjaan. 

“Jangan mudah putus asa sebab permulaan bekerja dalam bidang ini agak mencabar. Memang susah sebab gaji rendah. 

“Apapun, jangan jadikan alasan kerana kita perlu tekun. Kalau tiada kesabaran, cerdik atau berbakat sekalipun kalau malas tetap sama. Jangan ambil mudah dalam setiap pekerjaan kita lakukan,” ujarnya. 

JADI TELADAN 

Ternyata kisah Ko Wai ini menarik untuk diteladani dan wajar dipelajari individu yang mahu menceburkan diri dalam bidang pastri. 

Pada peringkat sekarang, beliau mahu memberikan fokus terhadap perniagaan. 

Satu titipan pesanan buat anak muda, jangan mudah terpedaya dengan kecantikan sesuatu hidangan dalam media sosial. 

Sebaliknya, jelas beliau, tekuni bagaimana proses pembuatan sesebuah pastri itu dilakukan. 

 “Mereka nampak mudah, apa yang kelihatan cantik. Sedangkan, mereka tak fikir siapa yang akan mencuci peralatan memasak selepas hidangan siap, individu yang pernah gagal dan cuba berkali-kali sehingga berjaya serta proses lain. 

“Saya bimbang, benda yang ‘segera’ itu akan mempengaruhi minda mereka. Kalau nak naik pangkat kena rajin. Kalau malas memang tak layak,” katanya. 

JENAMA IKONIK 

Ko Wai ditemui semasa majlis pelancaran jenama ikonik dari Jepun, Balmuda yang tampil memperkenalkan dua peralatan dapur berupa pembakar roti dan cerek. 

Pembakar roti berkenaan dilengkapi teknologi stim serba canggih dan kawalan suhu bagi mengubah roti dan pastri biasa yang disimpan semalaman menjadi hidangan yang segar dan sempurna. 

Pengguna hanya perlu menuangkan lima sentimeter padu (5 cc) air sebelum memulakan proses pembakaran semula pastri. 

Dengan pemanasan lebih cepat daripada udara, wap panas mengekalkan lembapan dalaman roti sebelum memberikan rupa perang keemasan pada permukaan roti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya