Kerani syarikat tidak mengaku 133 pertuduhan pecah amanah - Utusan Malaysia

Kerani syarikat tidak mengaku 133 pertuduhan pecah amanah

SEORANG bekas kerani akaun sebuah syarikat penguji emas didakwa di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini atas 133 tuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM445,815. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang bekas kerani akaun sebuah syarikat penguji emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 133 tuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM445,815.

Bagaimanapun, Teh Ya Ling, 41, mengaku tidak bersalah sejurus 133 pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Ya Ling sebagai kerani akaun di sebuah syarikat penguji emas di Jalan Sungai di sini, telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang milik syarikat tersebut ke dalam akaun miliknya sendiri.

Pemindahan wang itu dilakukan secara berperingkat antara RM500 hingga RM30,000 dengan keseluruhannya berjumlah RM445,815.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Oktober 2019 hingga 31 Mei 2021.

Ya Ling yang kini bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat jurutera dituduh mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika disabitkan kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong.

Ketika prosiding, Jun Keong meminta mahkamah menawarkan jaminan berjumlah RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam yang mewakili tertuduh, Teoh Kung Yu bagaimanapun meminta mahkamah mengurangkan jaminan memandangkan ia hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

“Selain itu, anak guam saya perlu menyara bapanya yang berusia 81 tahun selepas kematian ibunya.

“Dia juga tiada rekod jenayah sebelum ini dan ini kali pertama dituduh di mahkamah,” katanya.

Hakim Sharmila kemudiannya menetapkan wang jaminan RM500 dengan seorang penjamin bagi 133 pertuduhan yang keseluruhannya berjumlah RM66,500.

Sharmila turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sepanjang kes dibicarakan.

Mahkamah menetapkan 9 Februari depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya