Kakitangan LPP pecah amanah wang syarikat lebih RM140,000

Kakitangan LPP pecah amanah wang syarikat lebih RM140,000

MUHAMMAD Faiz Ibrahim dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini bagi berdepan pertuduhan pecah amanah melibatkan nilai lebih RM140,000.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM141,872.67 antara tahun 2021 hingga 2022.

Tertuduh, Muhammad Faiz Ibrahim, 36, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap 16 pertuduhan pilihan yang dilakukan di lokasi dan waktu sama.

Berdasarkan pertuduhan utama, dia sebagai Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi dan juga Pengurus Ladang Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur dengan curangnya menggunakan hasil jualan buah tandan segar sawit berjumlah RM141,872.67.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur, Pusat Kemajuan Peladang, Mawai Baru antara 26 April 2021 hingga 15 November 2022.

Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Manakala atas pertuduhan pilihan, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alice Voon Mei Ling meminta mahkamah memberikan jaminan berjumlah RM25,000 terhadap tertuduh.

Peguam mewakili tertuduh, Asiah Abd. Jalil bagaimanapun meminta mahkamah jaminan sebanyak RM10,000 kerana tertuduh masih menanggung dua ibu bapa yang sudah berusia.

“Tertuduh yang masih bujang telah bekerja sebagai penjawat awam sejak 2011 dan telah memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan kes ini berjalan sejak 2023,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 30 April depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN