KUALA LUMPUR: Seorang lagi pegawai bank mengesahkan bahawa akaun Parti Bersatu dengan nombor akaun berakhir dengan nombor 7041 menerima kemasukan sebanyak RM6 juta di antara Februari dan November 2022.
Semalam, Pengurus Kewangan CIMB cawangan Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee dalam penyataan saksinya menyatakan terdapat terdapat 28 transaksi membabitkan RM19.3 juta yang berlaku di antara 24 Ogos 2021 dan 11 November 2022 membabitkan akaun Bersatu yang berakhir dengan nombor 9940.
Ujar Hui Nee, pihaknya telah membuat laporan transaksi yang mencurigakan (STR) kepada Bank Negara Malaysia disebabkan kekerapan dan jumlah wang yang besar yang tidak konsisten dengan profil akaun.
Pada prosiding hari ini, Penolong Pengurus AmBank cawangan Amcorp Mall, Nor Paizah Osman, 45, berdasarkan penyataan saksinya menunjukkan terdapat 10 transaksi menerusi deposit cek tempatan di antara 21 Februari dan 17 November 2022.
Pada 21 Februari 2022, terdapat dua transaksi membabitkan RM1 juta setiap satu, pada 30 Mei 2022 (RM500,000) dan 31 Oktober 2022 (RM500,000).
Pada 8 November 2022, terdapat enam transaksi, masing-masing membabitkan nilai RM500,000 dan dua lagi transaksi berlaku pada 17 November tahun sama melibatkan jumlah yang sama.
Beliau berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat pada perbicaraan kes presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin,79, yang didakwa atas empat tuduhan salah guna kedudukan untuk suapan RM225.3 juta dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM200 juta.
Terdahulu saksi pendakwaan ketiga itu menyatakan akaun bank AmBank Bersatu itu dibuka pada 18 September 2018 dan merupakan jenis akaun semasa.
Ujarnya, akaun tersebut mempunyai enam penandatangan Sah (Authorised Signatories) iaitu Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Datuk Mohamed Salleh Bajuri, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, Muhammad Zulhelmi Zaulkafly dan Ili Syazwani Karmaine.
Sementara itu ketika disoal balas oleh peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad bahawa segala rekod transaksi akaun AmBank Bersatu itu berada dalam keadaan teratur dan merupakan transaksi perbankan yang biasa.
Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya tidak pernah mendapat sebarang inkuiri daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengenai isu kewangan parti berkenaan namun tidak dapat mengingati sama ada AmBank pernah menerima sebarang inkuiri daripada Bank Negara Malaysia berhubung akaun Bersatu.
Turut memberi keterangan pada hari ini ialah saksi pendakwaan keempat, bekas Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Mohamad Amin Idris, 41, yang mengesahkan bahawa Bersatu telah didaftarkan di JPPM pada 8 Sept 2016.
Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung 13 April ini. – UTUSAN










