GEORGE TOWN: Seorang pembantu kewangan sebuah syarikat berusia 47 tahun, rebah selepas mengaku bersalah pecah amanah di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh mengaku bersalah di dua Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan iaitu melakukan pecah amanah wang milik sebuah syarikat berjumlah RM677,629.
Di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh Lee Lay Peng, 47, membuat pengakuan tersebut selepas tiga daripada empat pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Berdasarkan tiga pertuduhan itu, tertuduh yang bertugas sebagai pembantu kewangan syarikat Bold Integrated Services didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM457,744 bermula 16 Jun 2017 hingga 27 Disember 2019 di syarikat terbabit yang beralamat di Jelutong, Pulau Pinang.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta dikenakan sebatan dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Ketika prosiding, Darrshini menawarkan wang jaminan berjumlah RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh juga diminta melapor diri di balai polis setiap awal bulan.
Tertuduh kemudiannya merayu agar wang jaminannya dikurangkan memandangkan dia adalah ibu tunggal yang perlu menyara dua orang anak berusia 17 dan 18 tahun yang masih bersekolah selain dalam proses menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah dengan syarikat terbabit.
Hakim Irwan Suainbon kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kesemua tiga pertuduhan dengan seorang penjamin. Mahkamah juga menetapkan 14 April depan untuk menjatuhkan hukuman dan mendengar fakta kes.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh rebah hingga terpaksa dipapah oleh dua pegawai polis wanita selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan melakukan pecah amanah di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM219,885. Perbuatan itu didakwa dilakukan di syarikat sama pada tarikh 13 Januari 2020 hingga 5 April 2020.
Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen kemudian menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin serta tidak membenarkan tertuduh untuk mengganggu saksi pendakwaan.
Hakim Juraidah seterusnya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah juga menetapkan 22 April sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN










