JTKSM selamatkan 86 warga asing dua minggu tidak bekerja - Utusan Malaysia

JTKSM selamatkan 86 warga asing dua minggu tidak bekerja

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menyelamatkan 86 warga asing dalam Op Penguatkuasaan Perburuhan Bersepadu di tiga tapak pembinaan di negeri ini hari ini.

Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, dalam operasi Meru Raya di sini, 52 lelaki diperiksa manakala masing-masing 17 di Tapah dan Sitiawan melibatkan warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sembilan daripada mereka pemegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) manakala 23 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Operasi dijalan selepas menerima aduan awam mengenai pengabaian pekerja oleh majikan. Siasatan mendapati mereka masih belum ada pekerjaan lebih dua minggu dan dalam tempoh itu, mereka tinggal di rumah kongsi yang tidak kondusif.

“Pemeriksaan mendapati kebajikan mereka diabaikan apabila penginapan yang disediakan majikan tiada kemudahan dan sempit,” katanya kepada pemberita di sini.

Operasi disertai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kamal berkata, pihaknya akan membantu pekerja yang terabai untuk mendapatkan pekerjaan sama ada di syarikat sama atau ditempatkan syarikat lain.

Katanya, operasi itu dijalankan bagi memastikan majikan menjaga kebajikan para pekerja.

“Ini juga bagi menyangkal dakwaan pihak antarabangsa yang mengatakan bahawa negara mengamalkan buruh paksa,” katanya.

Jelasnya, antara kesalahan yang dikesan adalah tiada perakuan penginapan pekerja yang merupakan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, Seksyen 25A Akta Kerja 1955 iaitu membayar gaji secara tunai dan bukan melalui institusi kewangan.

Katanya, selain itu, tindakan diambil mengikut Subseksyen 60K(3) akta sama iaitu kegagalan melapor penggajian pekerja asing dan terdapat juga pekerja yang dikategorikan sebagai terabai iaitu mereka dibawa masuk secara sah berpermit tetapi tidak diberikan sebarang pekerjaan.

Katanya, notis penutupan tapak selama tujuh hari dikenakan dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melakukan semakan kelulusan berhubung pembinaan bangunan dan lesen penginapan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya