Jabatan Laut teruskan siasatan kes bot terbalik di Teluk Batik - Utusan Malaysia

Jabatan Laut teruskan siasatan kes bot terbalik di Teluk Batik

SANDREA Ng Shy Ching pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Timbalan Pendakwa Raya (TPR) negeri meminta Jabatan Laut Malaysia (JLM) meneruskan siasatan berhubung kejadian bot terbalik di pantai Teluk Batik pada 28 Ogos lalu yang mengorbankan seorang mangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pasukan Siasatan Kemalangan JLM telah merujuk kertas siasatan kepada TPR negeri pada 24 November 2023 untuk semakan.

Jelasnya, hasil daripada semakan itu jabatan berkenaan telah diminta untuk meneruskan siasatan lanjut bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.

Beliau berkata, pihak Majlis Perbandaran Manjung telah mengarahkan pemberhentian serta merta kepada pengusaha terlibat sehingga lesen aktiviti dikeluarkan, bermula dari tarikh kejadian.

“Pihak Majlis Perbandaran Manjung juga telah mengeluarkan notis arahan keselamatan kepada semua pengusaha dan juga pemakluman bagi menghentikan operasi sementara dalam tempoh penyiasatan isu tersebut dijalankan,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Semasa kejadian pada pagi 28 Ogos lalu, sembilan individu yang merupakan pelancong warga tempatan berusia antara tiga hingga 34 tahun terlibat dalam kejadian bot penumpang dinaiki mereka terbalik di Pantai Teluk Batik.

Seorang daripada mangsa meninggal dunia di Hospital Seri Manjung sehari selepas kejadian.

Kata Sandrea lagi, pada masa ini JLM menempatkan anggota pada hari hujung minggu dan cuti umum di kawasan peranginan sekitar Lumut bagi memastikan bot yang digunakan untuk aktiviti pelancongan adalah bot berlesen dan semua pemandu bot serta penumpang memakai jaket keselamatan.

“Bot-bot yang beroperasi juga dipastikan membawa penumpang tidak lebih 12 orang. MPM telah menggariskan syarat-syarat pengendalian sukan air dan pemantauan dilaksanakan dari masa ke semasa melalui kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM,” katanya.

Tambah Exco itu, pihak berkuasa akan terus mengetatkan syarat-syarat dan pematuhan keselamatan supaya sebelum apa-apa lesen yang dikeluarkan telah mematuhi segala ketetapan.

Kata beliau, sekiranya berlaku pelanggaran syarat, pihak pengusaha boleh dikompaun dan tindakan tutup perniagaan.

“Pihak MPM juga telah meningkatkan kadar rondaan di kawasan pantai oleh penguatkuasa pelancongan dan sentiasa mengingatkan dan menegaskan kepada pengusaha yang berada di Teluk Batik bagi mewajibkan pemakaian peralatan terapung diri (PFD) kepada penumpang yang menaiki bot.

“Selain itu, penggunaan siaraya (speaker) juga turut digunapakai bagi memaklumkan pelancong yang hadir ke Teluk Batik untuk sentiasa berhati-hati. Poster keselamatan juga diteruskan untuk memberi kesedaran kepada pelancong terutamanya di musim cuti sekolah dan cuti umum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya