Belanjawan 2024 Perak lulus, ADUN dapat bonus sebulan - Utusan Malaysia

Belanjawan 2024 Perak lulus, ADUN dapat bonus sebulan

SAARANI Mohamad pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebulat suara menyokong Belanjawan 2024 negeri itu yang menyaksikan peruntukan terbesar dalam sejarah berjumlah RM1.35 bilion.

Malah semasa sesi penggulungan belanjawan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan kerajaan negeri bersetuju membayar Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada 48 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Speaker Dewan.

Beliau juga mengumumkan, kerajaan negeri bersetuju meneruskan peruntukan pengurusan Pusat Khidmat ADUN RM7,000 sebulan kepada 59 Pusat Khidmat.

“Dengan RM7,000 sebulan dapatlah membiayai bayaran elaun pegawai khas Pusat Khidmat masing-masing, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

“Sebagai buah tangan pada persidangan kali ini, kerajaan negeri bersetuju untuk membayar Bantuan Khas Kewangan satu bulan gaji kepada 48 ADUN dan seorang Speaker,” katanya pada penghujung penggulungannya.

Pembentangan Belanjawan 2024 yang dilakukan pada 1 Disember serta dibahaskan selama tiga, merangkumi RM491 juta atau 36.5 peratus peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan dan RM856 juta atau 63.5 peratus untuk perbelanjaan mengurus.

Antara topik yang disentuh adalah berkenaan perlombongan hasil nadir bumi di mukim Kenering, Hulu Perak.

Saarani menjelaskan, kerajaan negeri menerima hasil sebanyak RM21.1 juta daripada aktiviti itu selain berjaya memberi impak kepada penduduk setempat seperti peluang pekerjaan bidang pengurusan dan profesional serta pengambilan kakitangan dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Tambahnya semasa pembentangan belanjawan pada minggu lalu, beliau memaklumkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan kerajaan setakat 25 November 2023 adalah berjumlah RM1.05 bilion.

“Angka itu dilaporkan sudah meningkat menjadi RM1.094 bilion setakat 7 Disember 2023, iaitu pertambahan kira-kira RM44 juta dalam tempoh 12 hari. Jumlah ini adalah 96.5 peratus lebih tinggi berbanding sasaran tahun semasa. Alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, ADUN Sungai Manik yang juga Setiausaha Perikatan Nasional Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kesemua ahli pembangkang menyokong Belanjawan 2024 tersebut kerana semua mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan baik.

“Sepanjang pengalaman saya dalam Dewan, (ini) sebulat suara kerajaan dan pembangkang berbahas menyokong bajet 2024. Ini satu manifestasi yang jelas kepada rakyat. Kita tidak pernah menolak sekiranya dasar yang dibawa itu adalah dasar yang baik untuk negeri dan rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya