IPOH: Kesalahan berkaitan dadah menjadi kes jenayah paling tinggi melibatkan kanak-kanak di Perak antara tahun 2022 sehingga Jun 2024.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sebanyak 85 kes bagi kesalahan dadah membabitkan kanak-kanak diikuti jenayah berkaitan manusia sebanyak 84 kes diikuti jenayah harta benda (76 kes), lalu lintas (56 kes) dan lain-lain (29 kes).
Menurut beliau, selain itu kesalahan judi dalam kalangan kanak-kanak turut dicatatkan sebanyak lapan kes diikuti Akta Kesalahan Kecil sebanyak tiga kes, senjata atau bahan api dan Kesalahan Akta Kanak-Kanak masing-masing satu kes.
Kata beliau, dari segi jantina kanak-kanak lelaki direkodkan sebanyak 314 kes dan perempuan 29 kes bagi tahun ini sehingga 19 Jun 2024.
Beliau juga berkata, kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pula, sebanyak 1,189 kes dicatatkan sepanjang tahun 2022 sehingga Jun 2024 iaitu.
“Laporan tersebut dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak berkenaan statistik kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah, mencatatkan sebanyak 343 kes pada tahun 2022 sehingga 19 Jun 2024,” kata beliau ketika menjawab pertanyaan Chaw Kam Foon (PH-Menglembu) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini yang bertanyakan mengenai statistik kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah secara terperinci.
Oleh itu, kata beliau, bagi tahun 2024, sebanyak 300 siri Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak, Kasih Kanak-Kanak dirancang di seluruh negara termasuk negeri Perak, dengan pelaksanaan 30 siri.
Salbiah berkata, program tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak, ibu bapa, keluarga dan komuniti setempat tentang tindakan yang perlu mereka lakukan sekiranya berhadapan dengan masalah penderaan dan pengabaian kanak-kanak. – UTUSAN










