GEORGETOWN: Musim cuti persekolahan yang panjang serta cuti perayaan sempena Hari Krismas menyaksikan kawasan pusat bandar di sini penuh sesak dibanjiri pelancong dari dalam dan luar negara.
Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tumpuan pelancong di pusat bandar antaranya di Lebuh Armenian yang dikenali ramai sebagai pusat budaya yang kaya dengan seni jalanan mendapati, kawasan itu padat dengan pelancong.
Selain itu, restoran nasi kandar popular serta kafe-kafe yang menjadi ‘hidden gems’ dalam kalangan pelancong juga turut meriah menerima kunjungan pelancong.
Turut menjadi tumpuan pelancong ialah sepanjang pesisir pantai Tanjung Bunga hingga ke Batu Feringghi yang sesak dengan pelancong yang mengambil kesempatan berkelah serta beriadah.
Bagi seorang peniaga aksesori di Lebuh Armenian, Betty Guan, 40, jumlah pelancong yang berkunjung ke kawasan itu semakin meningkat selepas perayaan Hari Krismas.
”Minggu ini jumlah pelancong semakin ramai dan mungkin ia akan meningkat sehingga hujung tahun ini.
”Limpahan pelancong ke sini amat menggembirakan kami kerana ia mendatangkan sumber rezeki kepada para peniaga di sini,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, pengayuh beca di sekitar Lebuh Armenian, Awang Man, 60, berkata, sebelum cuti sekolah kawasan itu agak kurang pelancong, namun sekarang dia berasa lega apabila pelancong semakin ramai.
“Ada pelancong yang gunakan khidmat pengayuh beca untuk melihat keindahan bangunan dan seni jalanan di sekitar Lebuh Armenian dan pusat bandar.
”Kedatangan mereka ke sini dapat kembali menjana ekonomi kami para pengayuh beca dan peniaga-peniaga yang lain,” katanya.
Sementara itu, seorang pelancong, Siti Salwani Shahrudian, 43, berkata, dia yang tinggal di Kedah memilih membawa keluarga bercuti di Pulau Pinang kerana kos bercuti di sini masih lagi berpatutan.
”Rumah saudara-mara kami juga ada di Pulau Pinang, selain melawat mereka saya dan keluarga juga berkesempatan melawat Lebuh Armenian dan bergambar di sekitar mural yang unik di kawasan ini,” katanya.-UTUSAN