FMM bimbang gangguan air jejas sektor perkilangan Pulau Pinang - Utusan Malaysia

FMM bimbang gangguan air jejas sektor perkilangan Pulau Pinang

LEE TIONG LI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG PERAI: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyatakan kebimbangan susulan pengumuman Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkaitan gangguan bekalan air berjadual sehingga 96 jam pada Januari depan yang dikhuatiri mengganggu operasi perindustrian negeri ini.

Pengerusinya Datuk Seri Lee Teong Li berkata, tempoh gangguan bekalan air itu bukan sahaja terlalu lama, malah bakal menjadi cabaran luar biasa buat pemain industri.

“Industri perkilangan beroperasi dengan jadual yang ketat dan gangguan bekalan air berterusan (96 jam) dilihat melebihi standard kebangsaan iaitu 48 jam.

“Gangguan ini sudah semestinya akan menyebabkan kerugian yang mencecah berbilion ringgit sekali gus bakal memberi kesan terhadap pekerja sektor perkilangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor perkilangan memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi negeri, namun pada masa sama, pihaknya memahami akan kepentingan penyelenggaraan yang telah dijadualkan.

“Justeru, kami menyeru PBAPP meneroka alternatif lain seperti melaksanakan gangguan bekalan air secara berperingkat atau memendekkan jangka masa gangguan bekalan bagi meminimumkan kesan terhadap perniagaan.

“Gangguan bekalan berterusan selama 96 jam ini bakal menimbulkan kesukaran dan memberi impak negatif terhadap sektor perkilangan.

“Kami komited malah bersedia untuk berdialog dan menjalinkan berkerjasama dengan PBAPP bagi mencari penyelesaian yang dapat melindungi kepentingan awam serta kelestarian ekonomi sektor perkilangan di negeri ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari mulai 10 hingga 14 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, gangguan selama empat hari itu tidak dapat dielakkan bagi menampung kerja-kerja penggantian injap utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Butterworth, dekat sini.

Katanya, kerja pembaikan paip itu melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.

Antara kawasan yang akan terjejas adalah di kawasan Seberang Perai, manakala di bahagian pulau ialah Pulau Tikus; George Town; Jelutong; Gelugor; Bukit Jambul; Relau; Bayan Lepas; Bayan Baru; Batu Maung; Teluk Kumbar dan Balik Pulau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya