PETALING JAYA: Orang ramai disaran hadir ke Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang bermula esok hingga Ahad ini di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil menggunakan pengangkutan awam.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, jika ada yang ingin menggunakan kenderaan sendiri, ruang tempat letak kereta disediakan
“Jom ramai-ramai ke Setahun Kerajaan Malaysia Madani pada 8 hingga 10 Disember ini. Ini peluang untuk anda membeli di Jualan Mega Madani, Jualan Rahmah, boleh bayar saman dengan diskaun 50 peratus, karnival kerjaya, dan banyak lagi,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Sebelum ini, media melaporkan, penganjuran program itu memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan Madani, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.
Program ini turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta para pemegang taruh.
Antara tarikan sepanjang tiga hari program ialah penyampaian perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus kementerian-kementerian bersama rakyat dan Jualan Mega Madani.
Rakyat juga berpeluang untuk melihat pencapaian kerajaan melalui pameran pencapaian semua kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan. –UTUSAN










