Kerajaan Persekutuan terus beri subsidi selepas MASwings

Kerajaan Persekutuan terus beri subsidi selepas MASwings diambil alih Hornbill Skyways

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan memainkan peranannya dengan meneruskan pemberian subsidi bagi membolehkan perkhidmatan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) terus dinikmati oleh penduduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak selepas MASwings di bawah Malaysia Aviation Group diambil alih oleh syarikat penerbangan Sarawak

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan telah menzahirkan komitmen itu melalui Belanjawan 2024 pada 20 Oktober lalu melalui program keenam di bawah Agenda Kedua: Kemajuan Sabah dan Sarawak. 

Jelasnya, hal itu menyaksikan kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi perkhidmatan udara luar bandar sebanyak RM209 juta bagi tahun 2024. 

“RAS merupakan perkhidmatan udara yang tidak ekonomik di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah, dan merupakan mod pengangkutan utama untuk penduduk di kawasan tersebut. 

“Setelah MASwings Sdn. Bhd. di bawah Malaysia Aviation Group diambil alih oleh Hornbill Skyways Sdn. Bhd. yang masih dirunding sekarang, kementerian bertanggungjawab dalam menetapkan dasar Obligasi Perkhidmatan Awam dan kriteria kelayakan yang diperlukan. 

“Pada masa sama, kementerian melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia juga akan terus berperanan untuk mentadbir dan menguruskan obligasi perkhidmatan awam RAS,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit meminta kerajaan menyatakan peranan yang akan dimainkan oleh kerajaan Persekutuan setelah MASWings diambil alih oleh Hornbill Skyways. 

Mesyuarat Dewan Negara hari ini dipengerusi oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

MASwings iaitu Syarikat Penerbangan Komuter Malaysia Timur yang pertama, adalah memenuhi keperluan perjalanan udara penduduk Sarawak dan Sabah dengan menyediakan tambang berpatutan, jadual dan hubungan yang mudah di kedua-dua wilayah itu.

Ditubuhkan pada 1 Oktober 2007 untuk mengendalikan perkhidmatan luar bandar RAS dari FlyAsianXpress, MASwings memulakan operasi secara rasmi pada 1 Oktober 2007 dengan menggunakan pesawat enjin kipas yang sedang dikendalikan oleh FAX – tujuh pesawat Fokker F-50 dan lima Twin Otter.   

Pada 15 Jun lalu, Sarawak dilaporkan bersetuju mengambil alih MASwings selepas berunding dengan kerajaan Persekutuan. 

Pada 20 Julai lalu, media melaporkan, rundingan pengambilalihan saham MASwings antara kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Berhad berjalan lancar.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pengambilalihan saham syarikat itu ditawarkan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan Sarawak mengendalikan syarikat penerbangan sendiri.

Pada 28 Oktober lalu, Hornbill Skyways dan Malaysia Aviation Group telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mempercepat pemerolehan saham dalam MASwings bagi pengurusan perkhidmatan udara luar bandar. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN