KUALA LUMPUR: Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional memperkenalkan sistem pemilikan baharu apabila hak milik teksi kekal di bawah pemandu, bukan lagi menerusi skim pajakan seperti sebelum ini.
Menerusi program itu, pemandu teksi boleh beralih kepada Proton S70 dengan pakej pembiayaan lebih mudah dan sokongan kerajaan bagi mengurangkan kos memiliki kenderaan baharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kementerian Kewangan sudah meluluskan syarat bahawa hak milik kenderaan dalam mana-mana pakej pembiayaan perlu kekal bersama pemandu.
Katanya, perkara itu menjadi elemen penting dalam transformasi industri teksi kerana pemandu bukan sekadar memandu kenderaan, sebaliknya menjadi pemilik sah kepada teksi masing-masing.
“Ini satu elemen yang cukup penting kerana ini bukannya pajakan walaupun ada pembiayaan dengan pihak institusi kewangan, tetapi hak milik itu akan kekal bersama pemandu.
“Jadi ini bukan skim lama atau cara lama yang memajakkan teksi itu. Pemilik atau pemandu adalah pemilik sah kepada kenderaan tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka, hari ini.
Program itu turut memperkenalkan Proton S70 sebagai model teksi baharu berdasarkan kesesuaian operasi harian, termasuk aspek keselamatan, keselesaan dan kecekapan penggunaan bahan api.
Selain itu, pemandu teksi boleh memilih pakej pembiayaan mengikut kemampuan masing-masing, sama ada menerusi sewa beli dengan ansuran harian lebih rendah atau pakej yang merangkumi kos penyelenggaraan.
Anthony berkata, akses pembiayaan menjadi antara isu utama kerana ramai pemandu teksi mahu menukar kenderaan lama, namun berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman daripada bank.
“Dalam program ini, kita menyelesaikan masalah ini secara bersama dan ada pakej pembiayaan yang mudah kepada pemandu teksi supaya mereka dapat akses pembiayaan untuk mendapatkan kenderaan baharu,” katanya.
Program itu juga membawa identiti baharu kepada teksi Malaysia menerusi reka bentuk lebih moden tanpa ‘topper’, penggunaan dan meter teksi digital.
Katanya, kenderaan itu masih menggunakan warna merah, namun tidak lagi mengekalkan imej teksi tradisional dan boleh digunakan pemandu untuk tujuan peribadi.
Dalam masa sama katanya, sumber pendapatan tambahan pemandu turut diberi perhatian menerusi perancangan meletakkan iklan digital dalam teksi dengan kerjasama syarikat swasta.
“Kita nak transformasikan supaya pemandu teksi ada pelbagai punca pendapatan selain daripada tambang yang mereka peroleh,” katanya.
Anthony berkata, peruntukan RM10 juta sebagai geran padanan pertukaran kereta lama kepada kereta baharu Proton sudah selesai digunakan dalam tempoh tiga bulan selepas program dilancarkan awal Januari lalu.
“Peruntukan itu hanya mampu menampung 5,000 kenderaan, dengan pemandu yang menyerahkan kenderaan lama layak menerima potongan RM2,000 daripada Proton dan tambahan RM2,000 daripada kerajaan.
“Maksudnya, dia akan kurang lagi RM4,000 daripada apa yang mereka sepatutnya bayar.
“Kita nak bantu mereka supaya boleh naik taraf kenderaan dan apabila kenderaan mereka dinaik taraf, penumpang pun ada keyakinan tambahan kepada teksi tersebut,” katanya. – UTUSAN










