Garis panduan LAE diumum akhir tahun, pacu ekonomi altitud rendah

Garis panduan LAE diumum akhir tahun, pacu ekonomi altitud rendah

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia akan memastikan pembangunan ekosistem ruang udara altitud rendah dapat dilaksanakan secara teratur, selamat dan berkesan menerusi garis panduan kerangka kawal selia Ekonomi Altitud Rendah (LAE) yang diumumkan akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, garis panduan itu akan menjadi asas kepada pengunaan pelbagai teknologi seperti dron, sistem pesawat tanpa pemandu (UAS), mobiliti udara termaju (AAM), logistik udara, pemeriksaan infrastruktur, pertanian pintar serta perkhidmatan kecemasan.

Beliau berkata, garis panduan yang dibangunkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu dijangka diumumkan pada Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) nanti.

“Kami mahu garis panduan itu dapat membantu mengawal selia ekonomi altitud rendah ini sekali gus dipacu
satu pelan hala tuju yang jelas,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnkan Majlis Perasmian Forum LAE di sini, hari ini.

Katanya, LAE adalah satu peluang ekonomi yang signifikan untuk Malaysia kerana di peringkat global, sektor AAM dan teknologi dron dijangka berkembang pesat dalam dekad akan datang.

“Kami menjangkakan sektor itu bakal menarik pelaburan bernilai berbilion dolar dan ia telah dilaksanakan oleh kerajaan dan industri pengangkutan di seluruh dunia.

“Bagi Malaysia, ini bukan sekadar peluang dalam sektor penerbangan, ia adalah peluang untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh ekosistem teknologi tempatan dan meningkatkan daya saing negara di peringkat serantau dan global,” katanya.

Katanya, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk membangunkan ekosistem LAE kerana kita mempunyai industri penerbangan yang matang, keupayaan kejuruteraan yang kukuh, ekonomi digital yang berkembang pesat serta kedudukan strategik di tengah-tengah ASEAN.

Bagaimanapun, katanya, dalam mengejar inovasi, keselamatan tetap menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi.

Justeru, kerajaan mengambil pendekatan jelas bahawa pembangunan LAE perlu dilaksanakan secara berfasa, bertanggungjawab dan berpandukan piawaian penerbangan antarabangsa.

“Kita tidak akan melakukannya secara tergesa-gesa sebaliknya, kita akan memastikan setiap langkah yang diambil perlulah disokong dengan kerangka peraturan, keupayaan operasi dan tahap kesiapsiagaan yang mencukupi.

“Keyakinan awam menjadi faktor penting dalam pembangunan sektor ini. Inovasi hanya boleh berkembang secara mampan apabila ia disokong oleh keselamatan dan tahap kepercayaan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN