Dari Khaled ke Zambry: Dua Figura Hebat Terajui KPT

Dari Khaled ke Zambry: Dua Figura Hebat Terajui KPT

Zambry Abdul Kadir bersama dengan hadirin pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Menteri Pengajian Tinggi bersama Naib-naib Canselor Universiti Awam Malaysia yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Yang pergi dihargai, yang datang disantuni. Begitulah pendirian UKM yang sentiasa berlapang dada menerima apa jua keputusan kerajaan dalam usaha membawa pembaharuan terhadap landskap pendidikan tinggi negara.

Semua warga Universiti Awam Malaysia, khususnya UKM, sentiasa positif serta menyokong penuh segala keputusan dan langkah yang diambil oleh pihak kerajaan. Justeru, UKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat datang kepada Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir atas pelantikan sebagai Menteri Pendidikan Tinggi yang dibantu oleh Datuk Ts. Mustapha Sakmud sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Pada masa yang sama, UKM turut merakamkan ribuan penghargaan buat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Dato’ Mohammad Yusof Apdal atas segala usaha dan sumbangan dalam meningkatkan martabat sistem pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa.

Kekuatan Tersendiri

Zambry Abdul Kadir

Penamaan Zambry sebagai Menteri Pengajian Tinggi yang baharu membawa kekuatan dan kebolehan uniknya untuk jawatan tersebut. Gaya beliau yang lebih santai, senang didekati dan berfikiran terbuka dapat dirasai dan diterjemahkan semasa Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama Naib-naib Canselor Universiti Awam Malaysia di World Trade Centre Kuala Lumpur Isnin lalu.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.

Pengalaman beliau sebagai menteri luar juga tentunya memberi kelebihan dan pemangkin kepada usaha pengantarabangsaan universiti di Malaysia dengan universiti luar negara.

UKM berbangga kerana semasa Zambry menjadi Menteri Luar Negeri pada tahun lalu, beliau sempat merasmikan kerjasama akademik di antara Pusat Kajian Ikatan Malaysia-Indonesia (IKMI) Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS UKM) dengan Program Pengajian Indonesia-Malaysia (IMSP) di Universitas Prasetiya Mulya Indonesia.

Pada majlis tersebut, beliau turut memberi penumpuan terhadap beberapa agenda utama seperti penempatan pelajar tempatan dan antarabangsa, kebolehpasaran graduan, isu gaji premium dan juga pemerkasaan syarikat holding dan sayap perniagaan universiti.

Dengan mempromosikan kerjasama antara akademik dan industri, ia dapat mencipta persekitaran yang menggalakkan pemindahan pengetahuan dan komersialisasi hasil penyelidikan. Usaha ini tidak hanya memberi manfaat kepada sektor pendidikan, tetapi juga menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi Malaysia secara keseluruhan.

Selain itu, beliau turut berkomitmen untuk memastikan pendidikan tinggi selaras dengan keperluan pasaran kerja global. Beliau sedar tugasnya sebagai Menteri Pendidikan Tinggi memerlukan suatu perancangan yang inklusif bagi melahirkan kemenjadian mahasiswa yang cemerlang, Justeru beliau turut beriltizam untuk memastikan 2024 merupakan tahun penting bagi menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) Versi 2. Ia merupakan suatu gagasan besar yang menentukan halatuju pendidikan tinggi negara sehingga 2035.

Antara hasrat lain yang diutarakan adalah memastikan keluwesan kewangan bagi menampung projek pembangunan (DE) melalui model pembiayaan berdaya saing serta mengatasi masalah penempatan pelajar tempatan dan antarabangsa. Selain itu, prakarsa pendigitalan kampus juga dijangka menjadi tumpuan utama beliau melalui penguasaan teknologi AI dan Nanoteknologi. Untuk itu, tentunya TVET turut menjadi tumpuan beliau melalui MTUN, politeknik dan kolej komuniti.

Halatuju Mantap

Secara kesimpulannya, kedua-dua nama ini, yang lama mahupun yang baharu, telah dan akan membuat sumbangan yang signifikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi di Malaysia. Pengetahuan dan pengalaman yang luas Mohamed Khaled telah membuka jalan bagi kemajuan yang ketara dalam sektor pendidikan.

Walaupun singkat pentadbiran Mohamed Khaled untuk lantikan kali kedua ini, beliau telah meletakkan batu asas melalui 11 aspirasi yang menjadi tonggak dalam usaha dan panduan melonjakkan sektor pendidikan Malaysia agar lebih berkualiti dan diiktiraf seantero dunia.

Kemahiran kepimpinan Zambry pula dan keupayaan perancangan strategik menjadikan beliau sebagai pengganti yang sesuai meneruskan legasi pemimpin terdahulu. Tentunya dengan idea-idea baharu, beliau boleh memandu KPT dan Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta bergerak sederap menuju kecemerlangan.

Dengan gabungan aspirasi yang berkesinambungan dan teguh dari keduanya, seluruh warga IPT percaya bahawa usaha mereka berupaya menyediakan pendidikan berkualiti dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa yang disegani dunia.

Penulis ialah Pengerusi
Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya