Malaysia tuntut kerajaan Norway bayar pampasan

Malaysia tuntut Norway bayar pampasan, gagal patuhi kontrak pembelian senjata

MOHAMED Khaled Nordin pada sesi plenari kelima Dialog Shangri-La 2026 di Singapura semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menuntut kerajaan Norway mendahulukan pembayaran ganti rugi ekoran kegagalan syarikat pengeluar misil antikapal (NSM), Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) dari negara itu yang gagal mematuhi kontrak pembelian senjata tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia masih menganggap Norway sebagai sebuah negara sahabat seandainya kerajaan negara itu menunjukkan komitmen yang jelas dan bersungguh-sungguh ke arah usaha berkenaan.

Norway sepatutnya berperanan aktif memastikan hak Malaysia sebagai negara pembeli yang terjejas ekoran pembatalan lesen eksport tersebut, terjaga.

Katanya, jika Norway benar-benar mahu memelihara hubungan baik dan mengekalkan persahabatan dengan Malaysia, langkah yang paling wajar ialah memastikan wang yang telah dibayar oleh Malaysia dipulangkan terlebih dahulu.

“Selepas itu, terserah kepada Kerajaan Norway dan syarikat negara tersebut untuk menyelesaikan urusan mereka bagi mendapatkan semula jumlah yang telah didahulukan kepada Malaysia,” katanya dalam Dialog Shangri-La 2026, di Singapura semalam.

Kementerian Luar Norway dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu.

NSM dibangunkan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) merupakan peluru berpandu antikapal berke­upayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer, adalah sebahagian daripada kontrak perolehan dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) de­ngan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018, bernilai 124 juta euro ($184.91 juta), bertujuan melengkapi enam kapal LCS baharu.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia menyifatkan tindakan pembatalan perolehan NSM itu tidak mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama.

Walaupun permohonan maaf telah dibuat Norway dalam pertemuannya sebelum ini, tindakan pembatalan itu, diumumkan lewat iaitu selepas hampir 10 tahun kontrak pembelian ditandatangani.

Katanya, Malaysia kesal tin­dakan pembatalan misil berkeupayaan terbang rendah di atas permukaan laut (sea skimming) itu dilaksanakan secara unilate­ral tanpa sebarang rundingan.

“Malaysia telah menandatangani kontrak perolehan ber­kenaan pada tahun 2018 dan penghantaran misil tersebut sepatutnya dilaksanakan tahun ini, namun hanya dimaklumkan mengenai pembatalan lesen eksport pada April lalu.

“Keputusan ini bukan sahaja dibuat secara unilateral, malah tidak disusuli dengan usaha sewajarnya untuk membantu Malaysia mendapatkan semula wang yang telah dibayar. Keadaan ini tidak mencerminkan layanan yang sepatutnya diberikan antara dua negara yang mempunyai hubungan persahabatan yang lama dan baik,” katanya.

Sementara itu, berucap pa­da sesi plenari kelima Dialog Shangri-La 2026 bertajuk Me­ngurus Ketegangan Serantau Dalam Persaingan Global di Singapura semalam, Mohamed Khaled menegaskan ketega­ngan di Asia Tenggara dijang­ka terus meningkat sekiranya kuasa besar mengamalkan pelaksanaan undang-undang antarabangsa secara terpilih dan gagal menghormati perjanjian yang telah dimeterai.

Katanya, keadaan itu menghakis kepercayaan negara kecil dan sederhana terhadap sistem antarabangsa berasaskan peraturan malah amalan dwistandard dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa turut menjejaskan keyakinan terhadap institusi global yang sepatutnya menjamin keadilan dan akauntabiliti.

Sambil membangkitkan keputusan Norway membatalkan eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia yang disifatkan menimbulkan persoalan mengenai integriti kontrak, kebolehpercayaan rakan strategik serta kredibiliti sistem antarabangsa Mohamed Khaled berkata, persaingan kuasa besar dalam bidang geopolitik, ekonomi dan teknologi semakin memberi tekanan kepada negara-negara Asia Tenggara, termasuk usaha mempengaruhi pendirian dan kedudukan strategik negara di rantau ini.

Katanya, prinsip Kepusatan ASEAN perlu terus dipertahankan kerana blok serantau itu dibina berasaskan dialog, konsensus, saling menghormati dan tanggungjawab bersama, bukannya paksaan atau dominasi.

“Keamanan serantau hanya dapat dikekalkan jika komitmen dihormati, perjanjian ditepati dan undang-undang antarabangsa dilaksanakan secara adil kepada semua negara.

“Komitmen mesti dihormati, perjanjian mesti ditepati dan undang-undang antarabangsa mesti terpakai sama rata kepada semua negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN