Dakwaan buli; KPM arah sekolah sedia laporan lengkap  - Utusan Malaysia

Dakwaan buli; KPM arah sekolah sedia laporan lengkap 

LIM Hui Ying (tengah) meninjau kerja-kerja menaik taraf papan di Jeti Chew dan Jeti Lim, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengarahkan pihak sekolah menyediakan laporan lengkap berhubung dakwaan kejadian buli melibatkan seorang pelajar, Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi yang melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Cheras.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, KPM akan menunggu laporan daripada pihak sekolah sebelum mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes tersebut.

Katanya, kes berkaitan dakwaan buli yang berlaku ke atas Muhammad Daniel Akmal itu juga kini berada di dalam radar KPM.

”Kes ini memang dalam siasatan, dan di semua sekolah telah mempunyai satu garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPM yang sangat spesifik untuk tangani kes buli.

”Sekolah perlu buat laporan untuk diserah kepada KPM dan kita akan tunggu laporan daripada sekolah sebelum tindakan selanjutnya,” katanya selepas meninjau kerja-kerja menaik taraf papan di Jeti Chew dan Jeti Lim, di sini hari ini.

Pelajar sekolah berasrama penuh, Muhammad Danial Akmal yang ditemui semalam selepas dilaporkan hilang kelmarin didakwa bertindak melarikan diri dari sekolah kerana tidak tahan menjadi mangsa buli.

Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, mendakwa, anaknya yang berusia 14 tahun itu telah dibuli dengan teruk.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner, Zam Halim Jamaluddin berkata, Muhammad Daniel Akmal yang dilaporkan hilang dari kawasan sebuah sekolah di Cheras di sini Khamis lepas ditemukan dalam keadaan lemah di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, malam semalam.

Dalam perkembangan lain, Hui Ying berkata, beliau berpuas hati dengan kerja-kerja menaik taraf papan di Jeti Chew dan Jeti Lim bernilai RM400,000 yang telah berjaya disiapkan dalam tempoh dua bulan.

”Sekarang hanya tinggal kerja-kerja memasang lampu di Jeti Chew dan ia tidak dapat disiapkan kerana paras air menyebabkan kerja-kerja ini terpaksa ditunda.

”Jeti-jeti ini merupakan sebahagian daripada tapak warisan dunia UNESCO dan merupakan salah satu lokasi tumpuan pelancong di Pulau Pinang,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja menaik taraf jeti tersebut yang dimulakan pada Oktober lalu dan siap bulan ini amat tepat pada masanya kerana jumlah pelancong dijangka meningkat hujung bulan ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya