Dadah jenis pil yaba bernilai RM385,000 dirampas - Utusan Malaysia

Dadah jenis pil yaba bernilai RM385,000 dirampas

MAZLI Mazlan (tiga, kiri) menunjukkan sebahagaian dadah jenis pil yaba yang dirampas pada sidang akhbar di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis pil yaba susulan penahanan dua lelaki warga tempatan dengan hasil rampasan lebih RM385,000 di Besut, Rabu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, dua lelaki itu yang juga penganggur dicekup menerusi dua serbuan berasingan antara pukul 9 sehingga 12 malam di Kampung Kubang Depu dekat Jertih.

Menurut beliau, serbuan pertama membawa kepada penemuan 1.76 kilogram (kg) pil yaba bernilai RM93,500 sebelum merampas lebih 5.33kg lagi dadah jenis sama bernilai RM291,500 dalam serbuan kedua.

Mazli menjelaskan, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek ialah dalang daripada sindiket sama dengan dadah yang dirampas disyaki dijual dalam pasaran tempatan kepada 58,000 penagih.

“Selain daripada lebih 7kg dadah jenis pil yaba atau dikenali pil kuda itu, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City, selain menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Suspek berusia 19 dan 31 tahun itu telah direman tujuh hari sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menjalankan risikan dan operasi memerangi gejala penyalahgunaan dadah yang juga musuh nombor satu negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu Mazli berkata, sejak Januari sehingga November tahun ini, PDRM Terengganu yang telah melumpuhkan tujuh sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

Menurut beliau, dalam tempoh itu juga seramai 18 ahli sindiket berjaya ditahan melibatkan hasil rampasan keseluruhan 16.4kg pil yaba, syabu (2.45kg), ganja (5kg) serta dadah jenis eramin (58.89 gram).

Mazli menambah, turut ditangkap 1,106 pengedar dadah iaitu di bawah kategori bekalan manakala 2,147 orang lagi turut dicekup di bawah kategori permintaan atau pemilikan.

“Selain itu, seramai 964 penagih tegar telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara lima sehingga tujuh tahun dan sebat tidak lebih tiga kali jika sabit kesalahan.

“PDRM berikrar meneruskan ‘peperangan’ ini terhadap najis dadah dan akan memastikan semua lapisan masyarakat tidak terjebak dengan sebarang jenis bahan terlarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya