PETALING JAYA: Cukai barang import bernilai rendah (LVG) yang akan mula dikuat kuasakan pada 1 Januari ini disifatkan sebagai inisiatif serampang dua mata daripada kerajaan untuk mengurangkan pengaliran wang keluar negara sehingga mengakibatkan Ringgit terus melemah.
Pada masa sama, usaha memperkenalkan cukai LVG juga dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana dapat mengawal lambakan barangan import yang memberi kesan kepada industri tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, sekiranya sesebuah negara terlalu bergantung kepada barangan import ia akan mengundang malapetaka lebih besar terhadap kekuatan Ringgit itu sendiri.

Menurutnya, apabila nilai Ringgit terlalu lemah ia akan membebankan negara dan orang ramai.
“Selain itu, saya berpandangan bahawa kerajaan sebenarnya sedang berusaha untuk mengawal lambakan barangan import contohnya dari China yang jauh lebih murah daripada produk tempatan.
“Jika keadaan itu berterusan ia akan mengakibatkan syarikat tempatan seperti PKS (Perniagaan Kecil dan Sederhana) gulung tikar. Sekiranya banyak syarikat sebegini ‘tutup kedai’ ia tidak menguntungkan negara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum ini mengumumkan pelaksanaan cukai LVG sebanyak 10 peratus terhadap barangan di bawah RM500 akan berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.
Cukai tersebut ditakrifkan sebagai semua barang tidak termasuk rokok; produk tembakau; minuman keras yang memabukkan; rokok paip; rokok elektronik dan peranti pengewapan; dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok melalui rokok elektronik dan alat pengewapan elektrik, dalam bentuk cecair gel, sama ada atau tidak mengandungi nikotin yang dijual pada harga tidak melebihi RM500 dan dibawa masuk ke Malaysia melalui laluan darat, laut atau udara.
Bagaimanapun, Baharum berkata, penjelasan lanjut dan perbincangan dengan pemain industri perlu dilaksanakan dalam masa terdekat supaya pelaksanaan cukai LVG dapat dilakukan secara menyeluruh.
“Dari satu sudut lain, bagaimana dengan komponen yang diimport untuk menghasilkan produk tempatan, adakah ia turut akan dicukai kerana mungkin di Malaysia komponen tersebut tidak ada. Jadi situ perlulah ada pengecualian.
“Tetapi saya berpandangan cukai tersebut tidak boleh ditangguhkan pelaksanaannya kerana sistemnya mungkin sudah bersedia dan akan ada banyak implikasi lain akan timbul seperti kurang hasil kerajaan dan menyebabkan perbelanjaan negara terjejas,” katanya.
Beliau yang menyokong pelaksanaan cukai tersebut berkata, ia akan memberi keuntungan kepada kerajaan untuk jangka panjang pada masa sama melatih rakyat Malaysia untuk lebih mendahulukan barangan tempatan berbanding produk luar negara. –UTUSAN










