AS perluas sekatan minyak, mata wang kripto Iran

AS perluas sekatan minyak, mata wang kripto Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memperluaskan skop sekatan ekonomi yang menyasarkan sektor minyak Iran, dengan memberi tumpuan lanjut terhadap rangkaian taikun perkapalan petroleum, Mohammad Hossein Shamkhani, memetik kenyataan Jabatan Perbendaharaan negara itu.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent berkata, jabatan itu turut membekukan aset bernilai AS$130 juta (RM530 juta) yang disimpan dalam dompet digital dikaitkan dengan bank pusat Iran.

Ia sekali gus menyasarkan sektor yang menyaksikan peningkatan aktiviti sejak tercetusnya perang.

Langkah berkenaan diambil selepas tentera AS melancarkan serangan buat hari keempat berturut-turut ke atas Iran serta melaksanakan semula sekatan maritim. Sebagai tindak balas, Iran pula bertindak menyerang kapal-kapal di Selat Hormuz, menurut Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Iran mula menyekat laluan selat berkenaan yang merupakan laluan air utama bagi transit tenaga global susulan serangan bersama AS-Israel pada Februari lalu. 

Rentetan daripada itu, Washington mengenakan sekatan awal ke atas pelabuhan-pelabuhan Teheran bermula pertengahan April hingga pertengahan Jun.

“Tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perbendaharaan untuk mempertingkatkan tekanan ekonomi ke atas rejim Iran selepas negara itu meneruskan semula serangan yang menggugat kestabilan di Selat Hormuz,” jelas Jabatan Perbendaharaan dalam satu notis semalam.

Jabatan itu mendakwa rangkaian perniagaan Shamkhani kekal menjadi penggerak utama di sebalik aktiviti eksport minyak Iran, malah kini berkembang ke dalam sektor perdagangan komoditi global.

Tindakan terbaharu itu menyasarkan lebih daripada 50 individu, entiti dan kapal yang didakwa membolehkan pihak berkuasa Iran meraih keuntungan kewangan.

Tambah Jabatan Perbendaharaan, pihaknya kini mengenakan sekatan ke atas lebih 200 individu, entiti dan kapal yang beroperasi di bawah naungan serta perlindungan Shamkhani.

Shamkhani merupakan anak lelaki kepada pegawai keselamatan, Ali Shamkhani yang juga merupakan penasihat kepada bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Kedua-dua beranak itu terkorban pada 28 Februari lalu, iaitu hari pertama serangan bersama AS-Israel dilancarkan sekali gus menandakan permulaan kepada perang di Asia Barat. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN