PETALING JAYA: Pertukaran kategori daripada bawah 73 kilogram (kg) kepada bawah 81kg tidak sedikit pun menggentarkan jaguh judo negara, Amir Daniel Abdul Majeed menjelang Sukan Komanwel Glasgow yang akan membuka tirai pada 23 Julai ini.
Pemenang pingat gangsa edisi lalu itu menganggap perubahan kategori sebagai satu kelebihan kerana tidak lagi perlu melalui proses diet secara ekstrem, sekali gus membolehkannya mengekalkan kekuatan serta memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan.
Katanya, misi utamanya di Glasgow adalah untuk mempertahankan pingat yang dimenangi sebelum ini meskipun sedar saingan dalam kategori 81kg jauh lebih sengit dengan kehadiran beberapa judoka berada dalam kelompok lima terbaik dunia.
“Memang misi utama saya adalah untuk mempertahankan pingat itu. Saya sudah naik daripada kategori 73kg ke 81kg dan dalam kategori ini memang ada atlet yang berada dalam kelompok lima terbaik dunia, selain ramai lagi dalam kelompok 20 dan 30 terbaik.
“Persaingan memang sangat sengit, tetapi itu menjadi cabaran yang perlu saya hadapi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Amir berkata, persiapan menghadapi temasya itu sudah dimulakan lebih awal walaupun perlu membahagikan masa dengan peperiksaan akhir tahun ketiga pengajiannya.
Katanya, dia sudah menjalani kem latihan di Mongolia dan China sejak bulan lalu sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi kejohanan terbesar negara-negara Komanwel itu.
Mengulas mengenai kesesuaiannya beraksi dalam kategori baharu, Amir menjelaskan, berat badan semula jadinya sememangnya berada sekitar 80kg, sekali gus menjadikan perpindahan ke 81kg lebih ideal berbanding kategori terdahulu.
“Kategori 81kg sebenarnya lebih semula jadi untuk saya kerana berat badan saya memang sekitar 80kg.
“Saya tidak perlu diet terlalu banyak dan itu membolehkan saya menjalani latihan dalam keadaan normal.
“Dari segi kekuatan dan teknikal saya yakin boleh bersaing dengan sesiapa, cuma dari segi pengalaman saya masih perlu belajar kerana ramai lawan dalam kategori ini lebih berpengalaman. – UTUSAN










