Judo ubah destinasi hidup Amir Daniel

Judo ubah destinasi hidup Amir Daniel

AKSI Amir Daniel Abdul Majeed ketika memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARIPADA seorang kanak-kanak yang gemar menghabiskan masa di depan televisyen kerana mempunyai masalah berat badan, siapa sangka Amir Daniel Abdul Majeed kini menjadi antara sandaran negara dalam sukan judo, malah memasang impian besar untuk menghadiahkan emas Olimpik kepada Malaysia.

Atlet judo negara itu yang berasal daripada keluarga campuran mengakui penglibatannya dalam sukan berkenaan pada awalnya bukanlah kerana minat mendalam.

Sebaliknya ia bermula dengan usaha ibunya, Yeoh Suatkhim yang mencari aktiviti lebih bermanfaat untuk dirinya dan mahu mengurangkan berat badan Amir Daniel yang berlebihan
“Saya daripada keluarga campuran.

AMIR Daniel Abdul Majeed ketika zaman kanak-kanak.

Mak Cina dan bapa Mamak. Saya ada seorang kakak dan saya anak kedua. Semua tidak menyertai sukan, saya seorang saja yang menceburi bidang ini.

“Saya mula judo sebab dulu saya budak gemuk dan selalu suka tengok Televisyen saja. Jadi, mak bawa saya ke judo untuk bersenam dan mencari benda yang bermanfaat untuk saya buat daripada hanya menonton televisyen,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Daripada sekadar aktiviti untuk mengurangkan berat badan, judo akhirnya menjadi sebahagian daripada kehidupan Amir Daniel apabila dia mula menjalani latihan secara lebih serius sehingga membawanya ke pentas antarabangsa.

Namun, perjalanan sebagai atlet elit bukanlah mudah apabila cabaran terbesar yang terpaksa dilaluinya adalah mengawal berat badan bagi memenuhi kategori pertandingan.

Amir Daniel mengakui pernah mengambil langkah diet yang tidak betul sehingga menjejaskan kesihatannya dan terpaksa beberapa kali mendapatkan rawatan di hospital.

“Kecederaan memang cabaran utama untuk semua atlet, tetapi bagi saya cabaran paling besar ialah berdiet untuk turun berat.

“Saya sampai kena masuk hospital banyak kali sebab diet yang tidak betul sehingga mengalami banyak masalah kesihatan,” ujarnya.

Segala pengorbanan itu bagaimanapun berbaloi apabila Amir Daniel mencipta detik paling bermakna dalam kariernya pada Sukan SEA 2025 di Thailand apabila berjaya menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia selepas 44 tahun negara menanti kejayaan dalam judo.

Lebih menyentuh perasaan, kejayaan itu hadir selepas Amir melalui satu kehilangan besar apabila bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung hanya dua minggu sebelum temasya berkenaan berlangsung dan ketika itu dia sedang menjalani kem latihan di Mongolia.

“Sukan SEA 2025 adalah pencapaian paling bermakna apabila saya menang pingat emas pertama untuk Malaysia selepas 44 tahun kemarau.
“Dua minggu sebelum Sukan SEA 2025, semasa menjalani kem latihan di Mongolia, bapa saya meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Saya tidak ada individu tertentu sebagai inspirasi, tetapi jurulatih saya, Md Nashriq Md Nassir dan mak saya menjadi sumber inspirasi saya.

“Mereka berdua tidak pernah sebut perkataan letih atau mengalah sesekali pun. Mereka selalu berikan yang terbaik asalkan saya melakukan yang terbaik dan tidak mensia-siakan masa mereka,” katanya.

AMIR Daniel menunjukkan pingat emas dimenanginya.

Amir Daniel turut mencipta sejarah pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila merangkul pingat emas kategori bawah 81 kilogram (kg) lelaki.

Pengalaman yang dilalui sejak mula menceburi judo turut membuatkan Amir Daniel semakin yakin dengan kemampuan dirinya untuk melangkah lebih jauh, termasuk merealisasikan impian yang selama ini disimpan.

Bagi Amir Daniel, menjadi atlet Olimpik sahaja tidak mencukupi kerana dia mahu mencipta sejarah dengan menghadiahkan pingat buat Malaysia di pentas terbesar dunia itu.

“Ya. Matlamat terbesar saya ialah Olimpik. Saya tidak mahu jadi Olympian saja. Saya nak jadi Olympic medallist,” katanya.

Amir Daniel bersama ibunya, Yeoliana Yeoh Suat Khim dan arwah bapanya, Abdul Majeed Mohamed Hussain ketika memenangi pingat di Kejohanan Remaja Asia 2019.

Misi jangka panjangnya cukup jelas, Amir Daniel tekad memahat sejarah sebagai atlet judo pertama negara yang menghadiahkan pingat emas Olimpik buat Malaysia.

“Matlamat jangka panjang saya ialah Olimpik. Memenangi pingat emas Olimpik untuk Malaysia dalam sukan judo.

“Judo ada banyak prospek. Kita perlukan pertolongan, bimbingan dan sokongan daripada semua pihak supaya atlet junior dapat mengharumkan lagi nama negara dan mencipta nama tersendiri,”ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×