PMW International bina kilang cerucuk konkrit RM43.76 juta di Perak - Utusan Malaysia

PMW International bina kilang cerucuk konkrit RM43.76 juta di Perak

PASUKAN pengurusan PMW International merasmikan majlis pecah tanah untuk fasiliti baharu di Bemban, Perak sekali gus menandakan permulaan salah satu projek pengembangan kapasiti utama kumpulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian infrastruktur bersepadu, PMW International Berhad (PMW International) memulakan pembinaan kilang pembuatan cerucuk putar (spun pile) baharunya di Bemban, Perak bagi meluaskan kapasiti pengeluaran kumpulan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PMW International berkata, kemudahan baharu di atas tanah industri seluas 4.86 hektar di Kawasan Perindustrian Bemban itu melibatkan pelaburan modal berjumlah kira-kira RM43.76 juta.

Katanya, majlis pecah tanah itu turut menyaksikan anak syarikat milik penuhnya, PMW Winabumi Sdn. Bhd. (PWSB) menandatangani Surat Anugerah (LoA) bersama ECJ Construction Sdn. Bhd. (ECJ Construction) bernilai RM14.2 juta bagi kerja-kerja pembinaan utama.

“Pembelian dan pembangunan projek ini dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan PWSB telah menerima kemudahan perbankan daripada Maybank Islamic Berhad dengan had agregat RM54.5 juta.

“Jumlah pembiayaan itu diperuntukkan untuk kos pembinaan, pembelian jentera pengeluaran, kredit pusingan serta kemudahan perdagangan bagi modal kerja kumpulan,” katanya.

Kerja-kira pembinaan kawasan pengeluaran dan bangunan sokongan dijadualkan bermula pada 15 Julai 2026 dan disasarkan siap menjelang suku pertama 2027, manakala operasi komersial dijangka bermula pada suku ketiga 2027.

Apabila siap kelak, kilang kelima kumpulan di Ipoh itu direka dengan anggaran kapasiti pengeluaran sebanyak 40,000 tan metrik cerucuk konkrit putar sebulan.

Langkah itu bakal melonjakkan kapasiti pengeluaran tahunan kumpulan melebihi dua kali lipat daripada 238,000 tan metrik sedia ada kepada 718,000 tan metrik, sekali gus meningkatkan keupayaan membekal produk asas kepada projek infrastruktur di wilayah Utara dan Tengah Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif PMW International, Lee Hon Hwa berkata, pembinaan kemudahan di Bemban ini menjadi mercu tanda penting dalam perjalanan pertumbuhan PMW daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan pasaran.

“Kemudahan di Bemban ini akan menggandakan kapasiti pengeluaran dan fleksibiliti operasi kami, sekali gus membolehkan kami menyokong pelanggan dengan lebih baik dalam sektor pengangkutan, utiliti, telekomunikasi dan perindustrian.

“Bersama rangkaian pembuatan sedia ada di seluruh negara, kami percaya PMW berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan rantaian pelaburan infrastruktur Malaysia yang sedang berkembang bagi menyampaikan nilai jangka panjang yang mampan kepada pemegang saham,” katanya.

Kumpulan kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan jangka panjangnya, disokong oleh pelaburan sektor awam dan swasta yang berterusan termasuk projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), peningkatan grid elektrik, infrastruktur air, taman perindustrian dan pusat data.

Bagi mengukuhkan kedudukan pasaran, kumpulan turut melaksanakan beberapa inisiatif strategik lain termasuk perancangan kemudahan Tanjung Manis di Sarawak, pembaharuan perjanjian bekalan jangka panjang dengan CTS Horizon Sdn. Bhd., pesanan bekalan RM11.92 juta daripada SL Virtue Sdn. Bhd., serta perjanjian bekalan RM11.84 juta untuk Projek Infrastruktur dan Hab Gentian Optik Fasa 2 (Projek POP2). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN