Jimmy-Su Yin buru slot suku akhir Terbuka Jepun

Jimmy-Su Yin buru slot suku akhir Terbuka Jepun

Jimmy Wong-Cheng Su Yin mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan , Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dalam penentuan rubber set Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran Jimmy Wong-Cheng Su Yin menyasarkan melepasi halangan peringkat 16 terbaik hari ini selepas mengetepikan pasangan No. 14 dunia, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.

Berada di ranking ke-118 dunia bukan halangan mereka menewaskan wakil tuan rumah itu 21-19, 11-21, 21-19 sebelum dijangka berdepan laluan lebih getir menentang pasangan No. 7 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis.

Sejak digandingkan Mei lalu, pencapaian terbaik Jimmy-Su Yin hanya setakat pusingan kedua di Terbuka Australia dan Singapura.

Su Yin berkata, untuk memburu kemenangan, dia dan Jimmy perlu bermain lebih agresif dengan corak permainan menyerang bagi menundukkan pencabar mereka.

“Saya rasa penting untuk menguasai permainan di hadapan gelanggang. Kami perlu cari peluang menyerang untuk menang. Jika tidak, sukar untuk kami bermain,” katanya ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu mengakui mereka bermain dalam keadaan agak gugup dan faktor tersebut telah mengganggu rentak permainan mereka secara keseluruhan.

“Dalam perlawanan tadi, terutama dalam set ketiga, kami memang gementar, tetapi saya fikir kami tiada apa yang perlu dirugikan. Jadi, saya hanya bermain dan terus beritahu Jimmy, kita boleh buat,” ujarnya.

Turut mara ke peringkat 16 terbaik, beregu No. 11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang membenam wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett 21-13, 22-20 dan hari ini, mereka mengharungi laluan lebih sukar bertemu gandingan No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.

Sementara itu, nasib berbeza dialami wakil perseorangan wanita, K. Letshanaa yang terpaksa akur kepada pemain No. 14 dunia, Kim Ga Eun dari Korea Selatan 16-21, 12-21 dalam masa 32 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN