Che' Din: Produk usahawan RISDA ke pasaran Singapura, Jepun - Utusan Malaysia

Che’ Din: Produk usahawan RISDA ke pasaran Singapura, Jepun

Mohd Khairuddin Abdul Karim (dua dari kiri) menerima Anugerah Ikon Usahawan Risda Negeri Perak Tahun 2023 yang disampaikan oleh Noraini Ahmad (dua dari kanan) pada Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) Peringkat Negeri Perak di Arena Gerik. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bukan sahaja membantu pekebun kecil getah menoreh untuk meningkat pendapatan, malah membuka landasan kepada keluarga mereka menceburi bidang ekonomi baharu.

Kejayaan itu boleh disaksikan menerusi jenama Che’ Din, yang mengeluarkan makanan bertin seperti sardin, kari dan kurma ayam, daging rendang tok serta daging rendang hitam.

Perniagaan itu menerusi syarikat Che Din Food Industries yang diasaskan oleh Mohd. Khairuddin Abdul Karim, 52, berpusat di Kuala Kangsar, Perak.

Beliau merupakan anak penoreh mula membangunkan perniagaan itu pada tahun 2011, dan bermula 2015 produknya memasuki pasaran dengan skala lebih besar.

Mohd. Khairuddin berkata, beliau menerima bantuan RISDA menerusi program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang disediakan, kerana melihat para pekebun kecil dan keluarga tidak boleh bergantung kepada hasil kebun getah semata-mata.

Hasil bantuan itu, beliau kini mempunyai kilang pengeluaran dengan 18 orang pekerja dan produk telah dijual di pasar raya utama di seluruh negara.

“RISDA sangat membantu saya untuk menjadi seorang usahawan sebab saya anak pekebun kecil. Bantuan diberikan seperti AET, pengurusan perniagaan dan sebagainya untuk kami mempunyai perusahaan yang baik. Sekarang saya sudah mempunyai kilang sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau baru-baru ini menerima pengiktirafan Ikon Usahawan dalam Majlis Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) Peringkat RISDA Negeri Perak Tahun 2023 yang diadakan di sini.

Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Kata Mohd. Khairuddin, selain pasaran tempatan, produk Che’ Din juga telah memasuki Singapura dan kini mengintai peluang untuk menembusi Jepun melalui keluaran berasaskan buah nangka.

“Saya baru balik dari Tokyo. Kita memasarkan produk nangka ini ke Singapura, ke Tokyo juga kita bawa produk ini. Antaranya seperti jem nangka, gulai nangka, crepe nangka. Semua berasaskan nangka,” katanya.

Beliau sangat menghargai usaha yang dibuat oleh RISDA melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi membela nasib dan perkembangan kelompok pekebun kecil getah, yang dibaginya terbaik di peringkat antarabangsa dalam menguruskan komoditi getah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya