GEORGE TOWN: Cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki berusia 29 tahun menetak seorang wanita berusia 42 tahun dengan parang sehingga mati di kawasan Jalan Raja Uda, Butterworth, dekat sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, suspek kes berkenaan direman selama tujuh hari dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Polis sedang menjalankan siasatan dan motif kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu.
“Suspek juga saling mengenali antara satu sama lain,’’ katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini semalam.
Kelmarin, seorang lelaki bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang dipercayai cuba membunuh diri selepas menetak mati seorang wanita berusia 42 tahun.
Suspek bagaimanapun diselamatkan nelayan dan kemudiannya ditahan Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK).
Difahamkan, suspek bertindak menetak mangsa kerana marahkan mangsa yang merupakan ibu saudaranya kerana menghalang hubungan percintaan lelaki itu dengan anak wanita tersebut.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan kes seorang lelaki warga emas berusia 60-an yang maut selepas ditikam 27 kali menggunakan pisau di Jalan Perak pada 5 Disember lalu, beliau berkata, polis telah mengenal pasti beberapa suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis tidak dapat mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai siasatan ini.
“Kita ada kenal pasti beberapa suspek dan kita akan kecilkan skop siasatan,’’ katanya. –UTUSAN










