Cemburu, dadah suami disyaki bunuh isteri baru dikahwini - Utusan Malaysia

Cemburu, dadah suami disyaki bunuh isteri baru dikahwini

Suami isteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perasaan cemburu yang didorong dengan kehidupan sebagai pasangan suami isteri jarak jauh menyebabkan seorang lelaki dipercayai bertindak memukul teman hidupnya itu sehingga mati dalam satu kejadian di sini, pada awal pagi semalam.

Lelaki berusia 38 tahun itu juga disahkan terlibat dengan jenayah dadah selepas ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati positif metamfetamin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek dipercayai memukul mangsa dekat rumah mereka di Jalan Sungai Congkak sebelum membawanya ke Hospital Shah Alam.

“Polis menerima laporan semalam kira-kira pukul 5.33 pagi oleh suspek yang mengatakan isterinya mengalami sawan lalu beliau membawa mangsa ke hospital kerana tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, pemeriksaan pegawai perubatan di hospital ke atas mangsa mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuhnya,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, susulan laporan tersebut polis bertindak atas maklumat pada pukul 12.49 tengah hari semalam menangkap suspek di hospital sama serta merampas senjata iaitu dumbel yang dipercayai digunakan lelaki itu.

“Semakan rekod lampau terhadap suspek mendapati, dia mempunyai dua kes berkaitan pukul dan dadah,” jelasnya.

Mohd. Iqbal menambah, pasangan suami isteri tersebut baru mendirikan rumah tangga pada April lalu, namun isteri suspek yang merupakan tenaga pengajar sebuah kolej tinggal berasingan di Sarawak.

“Mangsa pulang bercuti (di Shah Alam) untuk menghadiri perkahwinan adi iparnya,” ujarnya.

Justeru, beliau memberitahu suspek di bawa ke mahkamah pada pukul 9 pagi nanti untuk permohonan reman dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Afandi Ahmad ditalian 016-7252948,” serunya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya