RANTAU PANJANG: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan mangsa banjir kekal fokus walaupun terpaksa mengulangkaji pelajaran di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nor Hasmida Kamarudin, 17, berkata, suasana di PPS itu sama sekali tidak menggugat fokusnya kerana setiap keluarga mempunyai khemah masing-masing.
“Alhamdulillah, saya dapat mengulangkaji dengan baik untuk menduduki kertas pertama SPM pada 30 Januari ini,” katanya ditemui di PSS SK Gual To’Deh di sini semalam.
Hasmida memberitahu, dia berpindah kepada ke PPS selepas rumahnya di Kampung Bendang Perol dilanda banjir kali kedua selepas ditenggelami air 0.3 meter.
Katanya, mengikut perancangan dia sepatutnya tinggal di asrama Sekolah Menengah Ugama Arab Al Falah di Kampung Siram namun pulang ke rumah selepas keluarga bimbang selepas kawasan tersebut ditenggelami banjir.
“Saya pulang hari Khamis lalu dan tinggal di PPS ini kerana bimbang terkandas di asrama kerana laluan sekolah sudah ditenggelami air.
“Jadi saya berharap banjir cepat surut dan dapat menduduki peperiksaan SPM dalam keadaan selesa,” ujarnya. –UTUSAN










