Bukan salah pelakon, adakalanya skrip tak ‘berjiwa’ – Nora Danish - Utusan Malaysia

Bukan salah pelakon, adakalanya skrip tak ‘berjiwa’ – Nora Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU sebut nama Nora Danish, pastinya dua daripada puluhan naskhah yang pernah dilakonkan, Puteri dan Tentang Dhia menjadi sebutan. 

Puteri misalnya,biarpun sudah memasuki usia hampir dua dekad, drama bersiri itu masih ‘berbisa’. Sehingga kini, Nora masih menjadi ‘pelaris’ yang berkesan. 

Jarang sekali naskhah lakonannya kurang memberi impak. Selain selektif, pelakon itu juga mempunyai karisma dan aura tersendiri. 

Lantas persoalan yang singgah, mengapa pelakon baharu sukar mencipta nama untuk jangka masa lama? Mengapa masih sukar mencari pelapis yang benar-benar mempunyai aura dan karisma seperti pelakon lama? 

Jawablah mendapatkan pelakon Sayu Yang Syukur ini. Apa rahsia untuk kekal relevan dalam industri seni? Tatkala pendatang baharu hadir bersilih ganti, mengapa dia masih menjadi dambaan penerbit? Nora, Jawablah!

Ada berpendapat sukar untuk mencari pelakon yang boleh menjadi pelapis kepada aktres hebat seperti Erra Fazira, Nabila Huda, Janna Nick dan Nora sendiri. Adakah pendatang baharu ini sekadar melontarkan skrip? Tidak bertahan lama, sekadar one hit wonder?

Saya percaya kekuatan naskhah itu datangnya daripada skrip itu sendiri. Skrip sangat penting. Sebagai contoh Tentang Dhia, skrip drama itu sangat hebat, ketika itu rugi kalau saya tolak. Saya tidak menyalahkan pelakon baharu 100 peratus. Kalau watak itu sudah ada jiwa, skrip perlu menyokong. Bukan sekadar mahu cepat habiskan drama sahaja. Kadang-kadang ada skrip yang tidak ‘memberi’.

Tetapi ada yang cakap pelakon baharu sekarang tidak ada aura? Sekadar jual muka dan diangkat kerana followers ramai di media sosial? 

Kita tidak boleh pukul rata semua. Saya pernah beberapa kali bekerja dengan pelakon baharu. Saya dapat lihat kesungguhan dan kemahuan mereka untuk belajar. Ada yang kerap bertanya, meminta ilmu. Tetapi sekali lagi, skrip itu sangat penting. Ada jalan ceritanya berbeza tetapi skrip biasa. Lebih-lebih lagi sekarang, ada produksi yang penggambaran hari ini untuk tayangan esok. Kualiti kadang-kadang ke laut. Penulis terpaksa mengolah skrip dengan cepat sampai kadang-kadang tak sedap, tak berjiwa. Semua perlu saling menyokong. Baik pengarah, skrip, pelakon dan kru juga. Semua main peranan penting.

Pernah ada pengalaman bekerja dengan pelakon baharu yang mungkin tidak ‘memberi’? Yang berlagak pandai? 

Alhamdulillah, setakat ini belum pernah pula. Ramai sedia terima pendapat dan belajar. Kalau mereka diberi skrip yang mantap, saya percaya mesti penonton dapat lihat impak yang berbeza. Kita juga memerlukan karisma pengarah yang bijak mengolah karakter itu. Banyak pengarah hebat sekarang mula memperlahankan kerjaya seni. Tetapi ada ramai juga bakat baharu dalam bidang pengarahan yang ada masa depan cerah.

Adakah itu (skrip lemah) juga yang menyebabkan peminat jarang sekali dapat melihat Nora beraksi di layar kaca mahupun perak? 

Tidak dinafikan juga. Sejujurnya saya sangat rindukan dunia lakonan. Tak pernah pun saya mahu memperlahankan kerjaya seni. Tetapi kebanyakan skrip saya dapat, karakter dan watak saya pernah bawa. Saya terpaksa tolak banyak tawaran kerana mahukan perbezaan. Saya bukan baru dalam industri seni, mestilah saya mahukan sesuatu yang lebih memberi impak. Cemburu bila lihat pelakon lain dapat karakter yang hebat. Saya berharap satu hari nanti, ada peluang untuk saya dapat melakonkan watak berbeza dengan skrip yang hebat. Bukan selektif sangat pun tetapi biarlah berbaloi dengan usaha dan pengalaman saya.

Bagaimana perancangan Nora untuk membuka produksi sendiri? Sepatutnya hujung tahun ini mula beroperasi kan? 

Sebenarnya, bila saya  fikir dan teliti semula, susah untuk kita menerbitkan  filem atau drama. Perlu lalui banyak proses. Jadi, buat masa sekarang, saya tangguh dahulu hasrat tersebut.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×